Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Premis perniagaan di 5 daerah Pahang diarah tutup 7 malam

Kerajaan Pahang menetapkan had waktu perniagaan terhadap premis di lima daerah, bermula 21 Mac ini.

Langkah drastik bagi membendung penularan wabak Covid-19 itu melibatkan Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh dan Bentong.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, hari ini.

"Hari ini kita buat keputusan bahawa bermula 21 Mac, semua operasi perniagaan termasuk restoran di lima negeri akan ditutup bermula tujuh malam hingga tujuh pagi.

"Kita ingin membendung penularan virus dan berharap bilangan (kes di Pahang) kekal 32," katanya.

Menurut Wan Rosdy, selain lima daerah itu, Cameron Highlands telah memulakan langkah itu semalam.

Terdahulu hari ini, notis yang dikatakan arahan daripada Ketua Polis Pahang Abdul Jalil Hassan disebarkan di media sosial.

Notis itu menyatakan semua restoran dilarang beroperasi bermula pukul tujuh malam hingga tujuh pagi, termasuk untuk pandu lalu dan bawa pulang makanan.

Stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam juga tidak boleh beroperasi bermula pukul tujuh malam hingga tujuh pagi 

Ketika dihubungi, Abdul Jalil mengesahkan perkara itu namun berkata kerajaan negeri, selepas mesyuarat yang turut dihadiri Wan Rosdy hari ini, memutuskan untuk mengenakan ketetapan itu di lima daerah sahaja, dan bukan seluruh negeri.