Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Saya tak akan pulang hingga kawalan pergerakan tamat’

Seorang peserta dari Malaysia yang hadir ke perhimpunan Tabligh di Sulawesi, Indonesia memberitahu, dia tidak akan pulang ke negara ini sehingga tamatnya perintah kawalan pergerakan pada 31 Mac.

Ahli perniagaan dari Kuching yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Adie memberitahu Malaysiakini, dia berada di Indonesia sejak dua minggu lalu sebelum ke Makassar untuk menyertai ribuan jemaah Tabligh dalam Ijtima Dunia 2020 Zon Asia selama tiga hari.

Perhimpunan itu bagaimanapun telah ditangguhkan.

“Mungkin saya akan ke Jakarta selepas ini… Jika selamat untuk saya mencari produk untuk dijual (bila pulang ke tanah air).

“Jika tak selamat, saya akan tinggal di Pontianak,” katanya merujuk kepada ibu kota Kalimantan Barat yang bersempadan dengan Sarawak.

Semalam dilaporkan sekurang-kurangnya 80 rakyat Malaysia menghadiri perhimpunan Tabligh yang kemudiannya ditangguhkan kerana bimbang penularan virus Covid-19.

Selain itu, Adie juga memberitahu dia bersama dua rakan lain dari Kuching belum menjejakkan kaki mereka lagi ke kawasan perhimpunan berkenaan.

“Saya masih berehat di hotel (pagi ini) dan ijtima tu pun telah ditangguhkan… Jadi saya terus sambung tidur,” katanya ketika dihubungi menerusi Facebook Messenger.

Adie yang memiliki pusat rawatan alternatif Islam telah membuat beberapa hantaran di Facebooknya sebelum ini mengenai perjalanannya ke Makassar, termasuk menulis permohonan maaf jika tindakannya itu menimbulkan kebimbangan.

Katanya, setakat ini tiada kes berkaitan Covid-19 di Makassar dan mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan sebaik sahaja tiba di lapangan terbang.

Adie turut menjelaskan, perhimpunan di Gowa tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan di masjid di Seri Petaling kerana kumpulan Tabligh masing-masing menerima arahan daripada pemimpin pusat yang berbeza.

Bagaimanapun semua tulisan Adie mengenai perkara tersebut telah dipadam di Facebooknya pagi ini.

“Ya (telah dipadam)… Saya tidak mahu mempromosikan lebih banyak dosa dengan kritikan orang ramai,” katanya ketika ditanya mengenai hantaran tulisan yang dipadam.

Adie bagaimanapun menulis satu lagi hantaran yang memberitahu bahawa penangguhan perhimpunan tersebut merupakan takdir daripada Allah.

“Apa yang Allah takdirkan adalah ketentuan yang terbaik bagi kita selaku hamba-Nya. Kami hanya duduk diam di hotel, tak sempat menjenguk ke medan ijtima kerana telah dibatalkan pemerintah setempat pagi ini.

“Kita harus terima dan reda dengan segala ketentuan dari-Nya. Mungkin asbab (sebab) doa ikhlas kalian semualah. Maka takdir terbaik ini Allah hadirkan.

“Moga ini menjadi asbab Allah angkat virus Covid-19 dari bumi yang tercinta ini,” tulisnya sambil memberitahu bahawa perhimpunan tersebut sebelum ini mendapat kebenaran daripada pemerintah Indonesia.

Selain Adie dan rakan-rakannya, status rakyat Malaysia di Gowa masih belum jelas walaupun Menteri Luar Negeri, Hishamuddin Hussein menegaskan bahawa semua yang pulang ke tanah air perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mandatori serta mematuhi tempoh kuarantin selama 14 hari.