Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ada pekerja Malaysia tidur di stesen MRT di Singapura

Larangan perjalanan keluar masuk negara susulan perintah kawalan pergerakan menyebabkan pekerja yang berulang-alik secara harian antara Singapura dan Malaysia terpaksa membuat pilihan sukar.

Pada malam 17 Mac, beberapa jam sebelum perintah berkenaan berkuat kuasa (bermula tengah malam 18 Mac), tambak Johor sesak dengan kenderaan. Ada pekerja memilih berjalan kaki bagi meneruskan pekerjaan mereka di Singapura, meskipun mereka belum ada tempat tinggal.

Sebahagian daripada mereka memilih untuk bermalam di stesen MRT.

“Saya akan bangun dalam pukul 5 pagi, waktu stesen ini buka,” kata Armel ketika ditemui kira-kira jam 1 pagi tadi di stesen MRT Kranji, seperti dilaporkan media Singapura, Today Online.

Armel antara kira-kira 20 warga Malaysia yang terpaksa bermalam di situ. Ada yang beralaskan kadbod, ada yang membuka payung untuk sedikit perlindungan, ada yang berbantalkan beg, jaket atau topi yang dibawa bersama mereka.

Sebelumnya, pada kira-kira jam 10.30 malam, beberapa pegawai daripada Pasukan Keselamatan Pengangkutan Awam (TransCom) dapat dilihat mengejutkan mereka yang bermalam di situ untuk mendapatkan maklumat masing-masing.

Turut kelihatan, dua kumpulan warga Singapura yang menyerahkan beg tidur, air dan kudapan buat mereka di situ, manakala polis turut dilihat memantau keadaan di situ.

Pada Selasa, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo mengumumkan kerajaan Singapura akan memberi bantuan sebanyak RM50 sehari kepada majikan yang harus mencari tempat tinggal buat pekerja Malaysia mereka.

Jelas Yeo lagi, setakat Selasa, kira-kira 10,000 pekerja warga Malaysia yang memilih untuk tinggal di Singapura telah mendapat tempat tinggal mereka.

Bagi warga Malaysia yang tidur di situ, yang rata-ratanya bekerja di industri pengeluaran dan pembersihan, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan tidur di luar memandangkan mereka tidak dijanjikan tempat tinggal oleh majikan masing-masing.

“Kami tak ada pilihan selain tidur di sini sampai kami jumpa tempat tempat. Stesen MRT lain tak rasa selamat seperti di Kranji,” kata Chandra, 49 yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat di Pioneer dekat Tuas.

Kata ibu anak empat itu, tidur dalam keadaan tidak selesa sebegitu bukan satu masalah buatnya, kerana setidak-tidaknya dia bersyukur masih mempunyai pekerjaan.

Bagi seorang lagi tukang cuci sekolah, Mohana Ambigai Dewi, 25, nasibnya tidak sebaik Chandra apabila dia kehilangan kerja Rabu lalu setelah gagal tiba pada tengah hari Selasa.

“Kesesakan di Tambak Johor terlalu panjang. Bateri telefon saya mati, saya tak dapat telefon bos beritahu dia saya tak dapat pergi kerja.

“Bila saya sampai pagi ini (Selasa) untuk jelaskan keadaan saya, dia cuma beritahu yang syarikat telah batalkan permit kerja saya,” katanya dalam nada marah.

Celah Armel, Mohana bukanlah satu-satunya yang diberhentikan, malah dia mendengar ramai lagi pekerja yang kehilangan pekerjaan setelah tersangkut dalam kesesakan di Tambak Johor.

“Saya akan terus kerja di sini meskipun perintah berkurung (perintah kawalan pergerakan) dipanjangkan, sebab saya perlu cari makan untuk keluarga saya di rumah.

“Saya penat sangat, tapi saya tak boleh tidur, sebab saya betul-betul rindukan mereka,” katanya.