Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Tolonglah, saya merayu, duduklah diam-diam di rumah’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merayu orang ramai supaya tidak keluar rumah, kecuali bila perlu sahaja, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang mula berkuat kuasa pada hari ini.

Katanya perkara itu penting untuk memutuskan rantaian jangkitan, sekali gus mengurangkan jangkitan wabak Covid-19.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Kalau di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Pergilah balik ke kampung waktu yang lain. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini dulu," katanya dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung di kaca TV sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, rayuan itu susulan orang ramai berpusu-pusu ke stesen bas untuk pulang ke kampung, dan balai polis bagi mendapatkan permit keluar daerah, sebaik sahaja perintah kawalan pergerakan diumumkan dua hari lalu.

"Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur.

"Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are," katanya.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata tempoh dua minggu yang ditetapkan itu bukan untuk membolehkan orang ramai melakukan kegiatan seperti menghadiri kenduri atau bercuti di tempat peranginan, tetapi untuk tinggal di rumah.

"Kenapa sekolah, universiti dan sebahagian pejabat, premis perniagaan dan kilang ditutup?

"Tujuannya ialah supaya saudara-saudari tidak perlu bergerak ke sana sini, tidak perlu bersesak-sesak dalam LRT, MRT atau bas untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari.

"Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus Covid-19.Selama tempoh dua minggu ini, saudara-saudari dan anak-anak hanya perlu berada di rumah," katanya.

'Tangguh dulu majlis kahwin'

Muhyiddin malah menyarankan orang ramai agar menggunakan tempoh itu untuk meluangkan masa dengan keluarga

Beliau juga meminta rakyat menangguhkan kenduri kahwin dan majlis akad nikah sehingga keadaan beransur pulih.

“Jangan malu, jangan segan. Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana Covid-19.

“Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu," katanya lagi, sambil menambah beliau sebagai perdana menteri tidak boleh menangani krisis ini secara bersendirian.

“Saya memerlukan sokongan para doktor, jururawat, polis, semua penjawat awam, pekerja swasta, pelajar universiti dan saudara-saudari sekalian untuk membendung wabak Covid-19 daripada menular di negara kita.

“Insya-Allah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran kita semua, saya berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya mengatasi krisis ini," katanya lagi.

Hari ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan 117 kes baru Covid-19, menjadikannya hari keempat berturut-turut di mana kes dilaporkan melangkaui angka 100.

Daripada 117 kes itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata 80 daripadanya mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling.

Semalam, Malaysia juga mencatatkan dua kematian pertama akibat Covid-19, melibatkan seorang paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak, dan seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menyertai perhimpunan Tabligh tersebut.