Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MB: T'ganu tutup pusat peranginan, pulau, hotel

Semua pusat peranginan, pulau-pulau serta hotel di Terengganu ditutup selama dua minggu bermula hari ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan COVID-19 yang setakat ini telah mengorbankan dua individu.

Justeru Ahmad Samsuri berkata rakyat perlu patuh dengan arahan kerajaan dan tidak menjadikan tempoh sekatan dua minggu ini sebagai waktu untuk bercuti serta bersantai di hotel-hotel atau pusat peranginan bersama keluarga.

"Saya gesa supaya rakyat tidak memandang remeh arahan ini kerana ia bukan sekadar saranan begitu sahaja, tetapi diperuntukkan dalam perlembagaan undang-undang.

Jadi janganlah mementingkan diri dan bercita-cita mengambil tempoh dua minggu ini untuk pergi 'bercuti' dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab berkumpul di premis kedai makan menjamu selera walaupun arahan yang jelas sudah dikeluarkan.

"Saya merayu sangat-sangat kepada rakyat supaya patuh arahan..ini bukan masa untuk kita 'bersuka ria' tetapi memainkan peranan masing-masing.

Untuk tempoh ini duduklah di rumah masing-masing dan tidak menjadikan kepulangan kampung kali ini seperti tempoh bercuti hari raya," katanya.

- Bernama