Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Larangan keluar dari kawasan jangkitan Covid-19 diwartakan

Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan Warta Persekutuan yang menghalang individu untuk melakukan perjalanan ke kawasan yang dijangkiti wabak Covid-19.

Semua negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia disenaraikan sebagai kawasan yang dijangkiti Covid-19.

"Tiada siapapun yang boleh melakukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat dalam lingkungan kawasan tempatan yang dijangkiti,” petik warta tersebut.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada individu yang mempunyai tugasan rasmi melibatkan perkhidmatan penting negara.

Perkhidmatan tersebut merujuk kepada air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Warta ini selari dengan keputusan kerajaan yang mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan yang bermula pada tengah malam ini (18 Mac) hingga 31 Mac.

Semalam, polis mengarahkan orang awam untuk memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya terdapat pergerakan rentas negeri sepanjang perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa.

Sukar dapat topeng muka

Bagaimanapun, arahan itu ditangguhkan seketika kerana berlaku kesesakan dalam pergerakan rentas negeri apabila orang ramai hadir berpusu-pusu di terminal bas dan balai polis.

Sementara itu, AGC dalam satu lagi warta persekutuan semalam telah melarang pengeksportan topeng muka.

Ini termasuk topeng muka 1-lapisan (gelung telinga), topeng muka 2-lapisan (gelung telinga), topeng muka 3-lapisan (gelung telinga atau gelung kepala atau ikatan kepala) dan topeng muka N95.

Kerajaan telah memberikan jaminan berulang kali bekalan topeng muka mencukupi tetapi orang ramai mengadu berhadapan kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

[Baca berita asal]