Peguam buat laporan polis terhadap Tommy Thomas
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan laporan polis terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung keputusannya untuk menamatkan prosiding 12 individu yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Khairul membuat laporan tersebut di Balai Polis Sentul pada 28 Februari.
Pada 21 Februari, Thomas menggunakan kuasa perlembagaannya selaku peguam negara untuk membebaskan 12 individu yang sebelum ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa menyokong LTTE.
Khairul dalam laporannya menggesa polis untuk menahan Thomas sebagai sebahagian daripada penyiasatan dakwaan salah guna kuasa apabila beliau membuat keputusan itu.
Khairul yang juga naib presiden Putra turut menggesa polis untuk menyiasat Thomas dan peguam lain seperti Ramkarpal Singh atas dakwaan konspirasi berhubung pengguguran prosiding terhadap 12 individu tersebut.
“Saya risau dengan peletakan jawatannya, Thomas akan melarikan diri ke luar negara dan saya gesa pihak imigresen untuk menahan pasport Thomas,” katanya.
Katanya lagi, Thomas yang menurutnya menyalahgunakan kuasa telah memperlekehkan polis yang membuat siasatan kes itu.
Selain itu, beliau turut menggesa 12 individu itu ditahan semula.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Khairul memaklumkan satu sebutan kes berkaitan akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang esok.
Katanya, sebutan itu berkenaan permohonan agar aduannya diperiksa mengikut Seksyen 108 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya lagi, dia memohon agar majistret mendengar aduannya berhubung laporan polis tersebut.
“Jika hakim berpuas hati dengan laporan polis yang dibuat berkaitan dengan wujudnya elemen jenayah, majistret boleh mengeluarkan arahan (kepada polis) untuk menyiasat (tuduhan salah guna kuasa oleh Thomas berkaitan pengguguran kes LTTE).
“Hari ini adalah pengurusan kes di mana majistret (M Saravanan) mengarahkan kami untuk menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Memandangkan mahkamah dijadualkan untuk tutup (esok sehingga 31 Mac), majistret tidak dapat menetapkan tarikh (untuk mendengar sebutan kes). Selepas 31 Mac, baru mahkamah dapat mendengar kes,” kata Khairul.
Susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, semua mahkamah di seluruh negara dilaporkan menangguhkan perbicaraan dan pengurusan kes secara bersemuka bermula esok sehingga 31 Mac.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai