Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Muhyiddin mahu usaha dapatkan semula dana 1MDB diteruskan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengarahkan agar usaha mendapatkan semua dana 1MDB di luar negara diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Muhyiddin hari ini diberi taklimat khas oleh pasukan petugas khas yang bertanggungjawab terhadap perkara itu.

"Dalam taklimat itu, perdana menteri dimaklumkan bahawa sejumlah RM1.4 juta bilion dana telah dikembalikan hasil usaha pasukan petugas, manakala sebanyak RM6.9 bilion lagi telah dikenal pasti.

"Pasukan petugas turut memberikan perincian tindakan yang telah dilaksanakan untuk membawa pulang dana 1MDB yang disyaki disalahgunakan di 17 buah negara.

"Perdana menteri mengarahkan agar usaha untuk menjejak dan mengembalikan dana 1MDB dari pelbagai negara terus dilaksanakan," kata kenyataan itu.

Pasukan petugas itu merangkumi Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Pada Mei tahun lalu, peguam negara ketika itu Tommy Thomas memaklumkan sejumlah RM1.5 bilion dana 1MDB sudah dipulangkan.

Beliau berkata ia melibatkan RM1.355 bilion dana yang didakwa disalahgunakan untuk memiliki aset di Amerika Syarikat, serta RM152.3 juta daripada dana yang dihantar pulang dari Singapura.

Pada 6 Mac lalu, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dilaporkan menangguhkan pemulangan AS$240 juta dana yang diseleweng daripada 1MDB, susulan kemelut politik yang membawa kepada pertukaran kerajaan di Malaysia.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga berkata pihak Amerika Syarikat perlu "berfikir dua kali" sebelum memulangkan dana itu,

Menurut Mahathir, ini kerana pihak yang mendakwa menyelewengkan dana itu telah kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan.