Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Rakyat Kelantan dinasihat tangguh sementara majlis akad nikah

Penduduk Kelantan yang merancang untuk mengadakan majlis akad nikah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini dinasihat supaya menangguhkannya terlebih dahulu.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Mohd Suhaimi Mohamad, berkata majlis itu bolehlah diadakan seperti biasa selepas perintah berkenaan tamat.

Katanya bagi pihak yang sudah mendapatkan kebenaran daripada pegawai agama dan tetap mahu majlis akad nikah diteruskan, ia masih dibenarkan.

"Kami hanya menasihatkan dan menyarankan sekiranya mereka yang bakal berkahwin bermula esok hingga 31 Mac supaya seboleh-bolehnya menangguhkan terlebih dahulu urusan tersebut.

"Pada saat ini, semua pihak perlu sedikit bersabar kerana kita terikat dengan peraturan.

"Bukan sahaja bakal pasangan pengantin, malah peniaga yang terpaksa menutup premis juga perlu bersabar demi kebaikan semua.

"Tetapi bagi mereka yang sudah mendapat kebenaran, tidak menjadi masalah untuk melangsungkan majlis akad nikah, namun janganlah terlalu ramai yang hadir untuk proses berkenaan bagi mengelak timbul masalah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Boleh kena penjara

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Terdahulu, satu surat pekeliling daripada Jaheaik yang meminta mana-mana pasangan ingin berkahwin dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, diminta hadir ke pejabat agama terdekat untuk permohonan kebenaran berkahwin.

Berdasarkan notis berkenaan, permohonan kebenaran berkahwin itu hanya diluluskan bagi pasangan yang sudah memenuhi syarat keperluan termasuk menghadiri kursus pra perkahwinan, saringan HIV dan disahkan anak mukim oleh imam mukim masing-masing.

Untuk rekod sebarang majlis kenduri kahwin, tahlil dan sebagainya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan berkuat kuasa.

Menurut peruntukan Seksyen 11(4) Akta 342 itu dibaca bersama dengan Seksyen 24(a) Akta yang sama menjadikan keingkaran larangan yang akan berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 adalah satu kesalahan jenayah.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.