Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kisah wartawan Mkini kena kuarantin di hospital

ULASAN | Sudah dua hari berlalu sejak saya dikeluarkan dari wad 5D Hospital Sungai Buloh selepas disahkah negatif jangkitan wabak Covid-19.

Sepanjang di sana, menjadi pemandangan biasa melihat kelibat jururawat dan doktor berlari-lari bagi membantu beberapa pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19.

Ada pesakit yang tiba-tiba mengadu pening, ada yang muntah, ada pula sesak nafas dan batuk tanpa berhenti. Tidak menang tangan jururawat di sana.

Bagaimanapun, jururawat dan doktor gigih melayan setiap pesakit dengan penuh sabar dan teliti serta tidak pula kedengaran mereka mengeluh.

Malahan terdapat juga beberapa pesakit yang degil tidak mahu mengikuti nasihat doktor antaranya enggan mematuhi arahan seperti makan ubat, tetapi para petugas perubatan ini tetap sabar melayan karenah setiap pesakit tersebut.

Saya juga sama dirujuk sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) dan selama tiga hari ditempatkan di katil 11 wad 5D, sejak Khamis hingga Sabtu lalu.

Sebelum itu, saya membuat ujian saringan di Klinik Kesihatan Shah Alam kerana selsema dan batuk.

Saya juga telah dimaklumkan pernah ada kontak rapat dengan seseorang yang sudah disahkan positif Covid-19.

“Kamu kini PUI, dah tak boleh jumpa keluarga dan rakan, kamu akan terus kami bawa naik ambulans ke Sungai Buloh.

“Baju nanti pakai hospital punya, kamu kena minta sesiapa ambil kereta kamu di sini (Shah Alam),” kata seorang doktor perempuan selepas saya menjalani ujian saringan tersebut.

Virus ini berjangkit dan sekiranya saya juga disahkan positif, maka ia bakal memberi kesan buruk kepada lingkaran hubungan pergaulan kenalan dan keluarga.

‘Jangan lebih garisan merah’

Pada hari pertama berada di wad 5D, saya dimaklumkan beberapa perkara oleh jururawat di sana.

“Jangan lebih garisan merah, nak apa panggil ‘nurse’, jangan kemana-mana .

“Rehat di katil dan makan ubat,” tegas jururawat.

Sekiranya kami melintasi garisan merah, jururawat pasti akan datang dan mula membebel seperti 'warden asrama'.

Malam itu juga, sampel darah dan ujian swab di mulut diambil bagi menguji sama ada saya benar-benar positif atau tidak .

Selang dua ke tiga jam, doktor bersama jururawat yang berpakaian seperti 'sut angkasawan' dilengkapi sut perlindungan diri (PPE) akan datang memeriksa suhu badan saya.

Baju PPE yang dipakai doktor itu akan diganti setiap kali seorang pesakit diberi rawatan.

Sekiranya, doktor dan jururawat perlu merawat lebih 40 pesakit, maka 40 kali juga mereka perlu menukar set lengkap PPE.

Tunggu air mineral sejam

Meskipun kami dijaga rapi dan diberi makanan serta ubat, tetapi kelihatan hospital ini menghadapi kekangan staf.

Pernah sekali, saya meminta air mineral dan 30 minit kemudiannya masih belum dapat.

“Maaf, kami kena kerja lebih syif, ada sampai 12 jam sehari, pesakit makin hari makin ramai,” kata seorang jururawat itu selepas memberikan air mineral itu kepada saya.

Sabarlah dan fahami situasi mereka. Apalah sangat menunggu air mineral sehingga sejam lamanya kan?

Ada di antara jururawat ini terpaksa berkorban masa dengan keluarga dan demi membantu pesakit mereka mempertaruhkan nyawa mereka.

Kadang-kadang, diperhatikan doktor di sini sibuk bertugas sehingga tidak sempat untuk makan kerana terpaksa menyambut pesakit yang tidak henti-henti memenuhi wad 5D.

'Tak jangka dari siapa kita dapat'

Ketiadaan keluarga di sisi sewaktu tempoh kuarantin ini ternyata dapat melemahkan emosi dan mental semua pesakit dalam siasatan Covid-19.

Ditambah pula, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa merekodkan peningkatan kes dan di sini para pesakit pula masih ternanti-nanti keputusan ujian virus itu.

Memahami keadaan kami, jururawat dan doktor di wad 5D tidak lelah memberi kata semangat supaya setiap pesakit tidak putus asa.

Beberapa pesakit dalam siasatan yang ditemui berkata mereka terkejut apabila dikatakan berisiko tinggi dijangkiti wabak tersebut.

Seorang pesakit, Nurul (bukan nama sebenar) menjelaskan bahawa beliau dibawa ke wad 5D kerana terpegang salah seorang pesakit positif sewaktu bekerja.

“Saya terpegang orang itu, terus batuk dan demam, doktor terus bawa ke Sungai Buloh. Kita tidak akan jangka, kita dapat dari siapa,” katanya.

Selain itu, pesakit Mei Ling (bukan nama sebenar) pula ditahan di KLIA, selepas batuk dan selsema ketika pulang dari Taiwan.

“Saya kena periksa lepas itu doktor terus bawa masuk sini (Sungai Buloh), tak sempat jumpa mama ayah,” katanya yang tinggal di Johor Bahru.

Susulan khabar mengejutkan seorang peserta perhimpunan tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling baru-baru ini positif Covid-19, tidak lama kemudian beberapa lelaki berjubah dan berkopiah dilihat masuk ke wad pengasingan itu.

'Jangan datang lagi ya'

Saya disahkan terlepas ancaman wabak Covid-19 pada malam Sabtu lalu dan dibenarkan pulang.

“Kamu dah boleh balik, tapi kena kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Jaga diri, pakai mask dan sanitizer. Jangan datang lagi ya,” seorang doktor berbangsa India yang merawat saya sambil tersenyum.

Gembiranya hati, tuhan saja yang tahu. Bagaimanapun, saya dapat lihat wajah sugul 'rakan seperjuangan' pesakit dalam siasatan yang masih menantikan keputusan ujian.

Saya doakan supaya para pesakit di Wad 5D Hospital SUngai Buloh turut sama mendapat khabar gembira dan dibenarkan pulang, bertemu keluarga masing-masing.

Buat para doktor dan jururawat yang berhempas-pulas menggadai nyawa demi menyelamatkan semua rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Berdasarkan pemerhatian saya, cukup jelas pengorbanan besar yang dicurahkan kakitangan perubahan di sini demi membantu para pesakit.


RAMIEZA WAHID ialah wartawan Malaysiakini yang kini menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas disahkan negatif ujian wabak Covid-19.