Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Rakyat Malaysia lakukan pembelian panik di pasar raya

Rakyat Malaysia melakukan pembelian panik di banyak pasar raya susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 beberapa hari ini.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati orang ramai mula beratur panjang di kaunter juruwang seawal pagi tadi – suasana luar biasa yang dilihat pada waktu bekerja.

Gambar dan video keadaan berkenaan turut dimuatnaik di media sosial.

Antaranya di pasar raya Giant di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan NSK di Klang, Selangor - orang ramai dilihat berebut-rebut membeli barangan keperluan asas, menyebabkan suasana sesak sekitar premis terbabit.

“Selalunya tak macam ini, tapi ini dah macam hari minggu, mungkin orang dah panik,” kata juruwang di pasar raya Mydin Putrajaya yang hanya mahu dikenali sebagai Nur.

Rak pasar raya juga didapati kosong setelah barang-barangan seperti roti, susu, telur, biskut, daging, makanan dalam tin, mee dan banyak lagi habis dijual.

Kakitangan pasar raya juga dilihat berusaha menambah barangan baru yang dibawa masuk dari stor penyimpanan.

Seorang pekerja kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Lau, 40, memberitahu Malaysiakini bahawa dia membeli keperluan asas selepas mendengar bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman penting malam ini.

“Sebab Muhyiddin kata akan ada pengumuman besar pukul 9 malam, jadi saya beli beberapa makanan kering dan dalam tin untuk seminggu, termasuk susu (untuk dimakan dengan bijirin cornflakes).

“Ada juga Milo dan biskut untuk makcik saya yang berumur 80 tahun supaya dia tak perlu keluar lagi.

“Kami selalunya beli bila stok (di rumah) habis, tetapi saya takut jika saya terlepas peluang ini, tiada apa yang boleh dibeli jika lockdown (perintah berkurung) dilakukan esok,” katanya sambil beratur untuk membayar di Ben Independent Grocer, Publika Kuala Lumpur.

Angka kes positif yang dijangkiti Covid-19 mencecah ratusan, dengan rekod sebanyak 190 kes semalam dan 125 kes bagi hari ini.

Jumlah keseluruhan kini direkodkan sebanyak 553 kes sejak penularan wabak tersebut.

Ditanya adakah kerajaan akan mengisytiharkan perintah berkurung dalam menghadapi situasi kini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberitahu pemberita untuk menunggu pengumuman Muhyiddin pada jam 9 malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin menggesa rakyat supaya menunggu pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan dengan kesemua menteri dan agensi bagi menangani wabak terbabit.

Laporan oleh KOH JUN LIN, KOW GAH CHIE, NG LING FONG, ZULAIKHA ZULKIFLI.