Covid-19: Bantuan RM600 untuk pekerja terpaksa bercuti tanpa gaji
Bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan akan diberikan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, susulan penularan wabak Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata mereka yang layak menerima bantuan itu adalah pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020.
“ (Bantuan itu juga) Layak untuk pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan. Langkah ini melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta.
"Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin turut mengumumkan diskaun caj elektrik untuk sektor komersial, perindustrian dan pertanian.
“Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Feb 2020, kategori perniagaan yang terjejas berikutan Covid-19 terutamanya sektor pelancongan akan menerima diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik untuk tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 Sept 2020,” katanya.
Perdana Menteri berkata mengambil kira penularan Covid-19 menyebabkan impak yang lebih meluas, kerajaan memutuskan untuk memberi diskaun dua peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 Sept 2020.
Muhyiddin berkata langkah pemberian diskaun dua peratus itu dijangka melibatkan anggaran peruntukan RM500 juta.
“Diskaun ini akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri serta pertanian,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata pembayaran RM200 Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada setiap penerima dibayar hari ini, diawalkan daripada tarikh asal pada Mei 2020 seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) pada 27 Feb.
Beliau berkata bayaran berjumlah RM760 juta itu akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah penerima BSH.
“Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan dalam PRE2020 akan dibayar pada bulan Mei 2020. Bayaran tambahan bulan Mei ini melibatkan RM500 juta yang akan memanfaatkan lima juta penerima BSH,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai