Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Covid-19: Umno gesa perintah berkurung, tutup pusat hiburan

Sayap parti Umno menggesa kerajaan segera mengumumkan perintah berkurung bagi mengekang dan menghentikan segera penularan virus Covid-19.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenaikan mendadak sebanyak 190 atau hampir 200 peratus kes baru dalam tempoh 24 jam kelmarin amat membimbangkan.

Beliau berkata, kerajaan juga harus segera mengaktifkan Majlis Keselamatan Khas yang melibatkan kementerian-kementerian di bawah kluster keselamatan untuk mempertimbangkan beberapa cadangan.

"Mengarahkan semua masjid, gereja dan rumah ibadat lain untuk melaksanakan proses nyahkuman mandatori bagi menghadkan lagi pergerakan rakyat untuk berkumpul dan beribadat sehingga proses nyahkuman premis berkenaan lengkap.

"Mengeluarkan perintah menghalang sebarang perhimpunan, perjumpaan, perkumpulan mahupun mesyuarat yang melibatkan orang ramai melebihi lima orang sama ada di kawasan terbuka mahupun tertutup bagi tempoh masa tertentu.

"Mempertimbangkan cadangan untuk menghad pergerakan rakyat dari daerah/negeri yang mempunyai rekod jangkitan yang tinggi untuk keluar ke negeri/daerah lain bagi tujuan membendung jangkitan menular (containment)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, arahan cadangan berkurung mengambil iktibar pengalaman negara-negara luar seperti Itali, China dan Denmark agar lebih proaktif menangani wabak ini dan mengelakkan keadaan negara lebih parah.

Semalam, Menteri Kesihatan Adham Baba memaklumkan Malaysia kini memasuki fasa pembendungan akhir wabak Covid-19.

"Kita ada fasa onset, kita ada fasacontainment (pembendungan), late containment dan terakhir fasa mitigation.

"Jadi kita sekarang ini dah masuk late containment (pembendungan akhir) kerana kes kita dapat terbaru sebanyak 428 kes kini kita dah masuk late containment dan ini kita perlu buat satu tindakan drastik," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan di Facebook.

Jelasnya, kerajaan akan menggunakan undang-undang "di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988."

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan menutup pusat-pusat hiburan daripada dikunjungi kerana ia akan menjadi risiko penularan Covid-19

Jelasnya, langkah pencegahan penularan virus Covid-19 perlu lebih menyeluruh dan tidak hanya disensasikan dengan isu berkait jemaah tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.

"Dalam masa yang sama saya rasa amat kecewa apabila kumpulan dakwah Islam ini dilabel seperti penyebar terbesar Covid-19 dalam negara, ini adalah persepsi yang mesti dihentikan segera.

"Justeru itu kami menyokong penuh sekiranya perlu mengeluarkan perintah berkurung kepada orang ramai sehingga situasi menjadi reda seperti sedia kala," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, beberapa bandar besar mengarahkan pusat hiburan kelab malam di negara itu ditutup bagi mengekang penularan Covid-19, termasuk New York di AS.

Ireland, India dan Jerman turut mengambil pendekatan sama.