Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kakitangan parlimen kerja dari rumah, penjara jadi zon larangan

GLOBAL | Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, pentadbiran parlimen Indonesia mengarahkan semua kakitangannya yang berusi 50 tahu dan ke atas agar bekerja dari rumah saja.

Setiausaha Parlimen Indonesia, Indra Iskandar, berkata peraturan tersebut berkuat kuasa hari ini dan akan berlanjutan sehingga tarikh yang tidak ditentukan lagi.

“Peraturan ini melibatkan pekerja yang mempunyai jarak rumah yang jauh dan perlu menaiki sistem pengangkutan awam untuk ke kompleks parlimen," katanya seperti dipetik CNN Indonesia hari ini.

Indra juga menjelaskan terdapat beberapa bahagian diperlukan untuk bekerja di pejabat termasuklah pegawai-pegawai daerah di negeri itu.

Bagaimanapun Indra berkata, masih terdapat beberapa bahagian yang memerlukan kakitangannya bekerja di pejabat termasuklah pegawai-pegawai daerah.

Berbanding Malaysia, kes positif Covid-19 di Indonesia agak lewat direkodkan dan jumlahnya agak rendah.

Bagaimanapun setakat ini sudah ada lima kematian akibat Covid-19 dicatatkan, manakala 117 orang disahkan positif.

Seorang daripada mereka ialah Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi, yang kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Darat Gatot Soebroto di Jakarta.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, turut menjalani pemeriksaan kesihatan bersama seluruh jemaah menterinya ekoran kes melibatkan Budi Karya itu.

Sementara itu, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia hari ini menguatkuasakan larangan untuk sebarang lawatan ke penjara.

Kata kementerian itu, larangan tersebut dibuat di penjara melibatkan banduan zon merah atau kawasan yang mempunyai kes Covid-19.

Pegawainya berkata, semua banduan tidak dibenarkan untuk dilawati dari 18 hingga 31 Mac ini.

“Zon merah akan ditetapkan oleh pegawai serantau kementerian selepas diselaraskan dengan Badan Pengurusan Bencana Nasional mengenai status darurat Covid-19,” katanya.

Bagi memastikan keadaan kesihatan petugas dan tahanan dalam keadaan baik pula, pemeriksaan suhu badan dijalankan dari semasa ke semasa, selain cara-cara menjaga kebersihan diajarkan kepada mereka.