Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Rafidah: Covid-19 soal hidup dan mati

ULASAN | Artikel saya kali ini bukan tentang politik atau seumpamanya. Tulisan ini semata-mata mengenai bagaimana kita dapat bertindak untuk memerangi penyebaran wabak virus Covid-19.

Pertama, tahniah diucapkan kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan, yang dipimpin oleh Ketua Pengarah (Dr Noor Hisham Abdullah, atas usaha tanpa mengenal penat lelah untuk membendung peningkatan jumlah jangkitan di kalangan penduduk.

Tetapi usaha mereka tidak wajar dibiarkan terjejas kerana kegiatan segelintir pihak dalam masyarakat, yang tampaknya tidak peduli mengenai kebajikan orang lain, dan fokusnya menyimpang daripada apa yang sepatutnya menjadi tumpuan negara untuk mengatasi masalah-masalah nasional!

Individu dan kumpulan individu mempunyai tanggungjawab bersama dengan peranan berbeza bagi mengatasi masalah ini. Dan semua mesti koheren dalam menangani isu-isu tersebut, misalnya untuk mencapai hasil yang terbaik.

Sistem bekerja fleksibel

Pertama, setiap kementerian perlu menangani kumpulan sasarannya, mengenal pasti kawasan yang mana segmen masyarakat tersebut dapat dibimbing secara berkesan untuk mengatasi masalah itu.

Contohnya, Kementerian Sumber Manusia, juga kementerian-kementerian yang bertanggungjawab hal ehwal perniagaan, perlu memperkenalkan dan memudah cara sistem bekerja yang fleksibel, mengoptimumkan potensi ICT dan platfom digital. Ini supaya sebanyak mungkin tenaga kerja boleh bekerja dari rumah.

Kedua, kementerian-kementerian yang mengendalikan anak muda dan wanita, mesti melakukan komunikasi berkesan dengan NGO, organisasi sukarela serta kumpulan masyarakat sivil.

Ini dapat membantu menyampaikan cara yang dipersetujui untuk menangani virus itu kepada ahli-ahli pertubuhan berkenaan.

Media sosial patut digunakan dengan efektif untuk menyebarkan maklumat berguna. Menteri dan timbalan menteri tidak patut menggunakan media sosial untuk mengemukakan pandangan peribadi dan mengajukan isu-isu yang tidak relevan.

Ketiga, pasukan petugas khas krisis negara perlu ditubuhkan, melibatkan kakitangan sektor utama kesihatan dan perubatan serta wakil sektor swasta bagi membimbing negara menghadapi cabaran-cabaran wabak ini.

Dalam hal ini, masa amat penting. Kerajaan baru perlu bertindak sepantas yang mungkin.

Mesti kira kos ekonomi

Selaras dengan itu, pasukan petugas khas nasional perlu meneliti kos akibat wabak ini terhadap pemacu pembangunan negara, terutamanya sektor swasta.

Kos ekonomi ini mesti dikira sekarang dan penting bagi mengukur penilaian untuk menghidupkan semula, menggiatkan kembali dan membantu mereka pulih.

Setiap langkah polisi yang diambil mestilah tidak memihak kepada kecondongan politik tertentu. Dasar yang digariskan perlu dibuat demi Malaysia dan untuk semua rakyatnya.

Kita perlu sentiasa diingatkan koronavirus Covid-19 tidak memilih-milih pesakit untuk dijangkiti berdasarkan kepercayaan agama atau kaum seseorang.

Allah SWT tidak akan menolong kita, kecuali kita menolong diri kita sendiri terlebih dahulu.

Ini soal hidup dan mati. Ini bukan tentang perebutan kerusi kekuasaan politik atau untuk kekangan birokrasi untuk menghalang tindakan.

Keputusan yang tegas dan berkesan perlu dibuat berdasarkan matlamat demi kebaikan orang ramai, bukan untuk kesuaian atau tekanan kumpulan dengan kepentingan tetentu. Misalnya dengan membenarkan perhimpunan besar keagamaan yang sekarang telah mengakibatkan pertambahan jumlah kes jangkitan.

Orang ramai perlu dimaklumkan sepenuhnya atas semua perkembangan bagi mengelakkan maklumat palsu mengambil tempat.

Sekarang masa seluruh kerajaan bertindak!


RAFIDAH AZIZ ialah bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 1987 ke 2008.

Artikel ini terjemahan daripada tulisan asal Rafidah Aziz dalam bahasa Inggeris berjudul "Working together for success" dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.