Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Isu kurang penutup mulut, pembasmi kuman tangan dibawa ke kabinet'

Masalah kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman berikutan penularan jangkitan Covid-19 akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan masalah kekurangan kedua-dua barangan itu, yang menjadi keresahan rakyat, akan dapat diatasi.

“Menteri (Alexander Nanta Linggi) pun ada menyatakan bahawa kerajaan bersedia untuk tidak mengeksport apa yang ada (penutup mulut dan hidung) ke luar negara jadi ia sikit sebanyak akan memastikan barangan itu mencukupi di negara kita,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu hari ini.

Rosol Wahid

Rosol turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang sengaja menyembunyikan stok penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman dengan tujuan menaikkan harga jualan.

“Setakat ini tiada laporan (menyembunyikan stok penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman). Kalau ada kita akan pastikan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang mengambil kesempatan atas masalah ini,” katanya.

Selain itu, Rosol menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembelian barangan keperluan termasuk penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman secara panik susulan penularan pelbagai dakwaan berkenaan situasi Covid-19 di negara ini, bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Di Arau, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perlis Azizan Sulaiman mengingatkan peniaga di negeri itu supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan, penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman sesuka hati bagi mengaut keuntungan lebih ketika penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya bersama KPDNHEP negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tamak.

“Saya ada menerima beberapa aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga barang dan kami akan siasat perkara ini…Saya minta agar peniaga tidak terlampau mementingkan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

-Bernama