Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nak lesen perniagaan, jurusolek ditipu RM100,000

Seorang jurusolek wanita kerugian RM100,000 selepas ditipu seorang lelaki yang menawarkan lesen perniagaan pertukaran mata wang asing dalam kejadian di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian awal bulan Januari lepas, wanita berusia 27 tahun berasal dari Kepala Batas merancang untuk menjalankan perniagaan pertukaran mata wang asing sebelum diperkenalkan dengan seorang lelaki oleh rakannya.

"Rakan wanita itu mendakwa lelaki itu boleh mendapatkan lesen perniagaan dengan cepat dan mangsa yang percaya telah bersetuju untuk menggunakan khidmat suspek serta diarahkan untuk membuat bayaran deposit berjumlah RM100,000 sebagai wang proses permohonan lesen perniagaan itu," katanya di Kepala Batas, hari ini.

Wanita itu turut beberapa kali berjumpa dengan lelaki berusia 51 tahun berkenaan bagi membincangkan urusan perniagaan berkenaan termasuk menyerahkan empat keping cek kepada suspek sejak Januari hingga awal Mac ini.

Walaupun jurusolek itu telah menyerahkan cek berjumlah RM100,000 kepada lelaki berkenaan, namun dia masih meminta mangsa untuk membuat tambahan bayaran kononnya bagi beberapa urusan lain untuk mendapatkan lesen perniagaan itu, katanya.

Noorzainy berkata, wanita berkenaan tidak setuju untuk memberikan wang yang diminta lelaki itu malah mangsa berasa tertipu dengan suspek kerana dia memberikan pelbagai alasan apabila jurusolek berkenaan bertanyakan lesen perniagaan yang dipohonnya.

Berikutan itu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Jumaat setelah gagal menghubungi lelaki berkenaan dan suspek juga dipercayai telah melarikan diri kerana tidak lagi tinggal di rumah didiaminya.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan lelaki yang terlibat dalam kejadian itu, identiti suspek telah dikenal pasti dan polis percaya dia masih berada dalam Malaysia kerana tiada rekod keluar dari negara," katanya

Menurutnya, orang ramai juga dinasihat agar berurusan dengan pihak yang betul dan bukannya menggunakan “orang tengah” untuk mendapatkan lesen perniagaan atau sebagainya bagi mengelak ditipu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-Bernama