Jais arah semua program tabligh ditangguhkan
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan semua program dan aktiviti tabligh di masjid serta surau di seluruh negeri itu, ditangguhkan buat sementara waktu, susulan penularan Covid-19 ketika ini.
Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas berlakunya jangkitan daripada satu majlis keagamaan melibatkan tabligh, di Sri Petaling baru-baru ini.
“Langkah ini perlu dilakukan kerana biasanya tabligh yang hadir ke mana-mana aktiviti keagamaan adalah orang yang sama.
“Jais telah mengedarkan surat arahan penangguhan aktiviti tabligh kepada semua pengurus masjid dan pengerusi surau di Selangor sejak semalam, sebagai usaha mengelakkan penularan berkenaan yang sekarang ini dilihat agak cepat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Shah Alam, hari ini.
Pada masa sama beliau berkata, beberapa program anjuran JAIS melibatkan jumlah orang awam yang ramai dalam masa terdekat ini juga ditangguhkan sementara waktu, antaranya di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan majlis hafazan sekolah di Sabak Bernam.
Bagi program lain anjuran Jais, Mohd Shahzihan berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu berdasarkan nasihat yang dikeluarkan KKM, sebelum menangguhkannya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai