Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Agihan 3.05% bukti Tabung Haji berhemah - Penganalisis

Agihan keuntungan sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 yang diumumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menunjukkan bahawa syarikat tersebut sentiasa berhemah dalam keputusan pelaburannya dan mencapai pulangan pelaburan yang optimum.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata TH berjaya mencapai prestasi memberangsangkan itu meskipun pada 2019 ekonomi global berdepan dengan banyak cabaran susulan perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang berlarutan serta beberapa negara lain yang turut mengamalkan fahaman perlindungan perdagangan.

Selain itu, katanya, keadaan Brexit di United Kingdom, ketidaktentuan harga komoditi minyak serta faktor geopolitik turut memberi kesan kepada prestasi pelaburan.

“Agihan keuntungan sebanyak 3.05 peratus itu sememangnya tinggi berbanding 1.25 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pendapatan pelaburan banyak disumbangkan oleh pelaburan aset pendapatan tetap yang menjana 58 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mohd Afzanizam berkata perkara ini menunjukkan bahawa peruntukan aset yang memberi fokus kepada kelas aset berisiko rendah sesuai dengan tahap toleransi risiko TH.

Pada masa depan, katanya, para pendeposit perlu meletakkan harapan yang realistik bagi agihan keuntungan memandangkan suasana ekonomi global yang kian tidak menentu berikutan penularan wabak Covid-19 serta kejatuhan harga minyak mentah dunia.

“Perkara ini telah menyebabkan kemeruapan yang tinggi dalam pasaran kewangan di peringkat global dan juga domestik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ekonomi Kenanga Investment Bank Bhd Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie berkata pengagihan keuntungan itu menunjukkan bahawa pasukan pelaburan TH telah berusaha keras untuk memastikan pulangan yang baik kepada pelabur meskipun keadaan pasaran yang mencabar tahun lepas.

“Saya rasa tahun ini akan menjadi tahun yang lebih mencabar bagi semua pengurus wang. Harapnya tahun depan pulangan pelaburan akan bertambah baik.

“Ia semuanya bergantung kepada bagaimana kerajaan menangani situasi. Itulah sebabnya mengapa, dalam hal Malaysia, kestabilan politik sangat penting,” katanya.

TH dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 melibatkan bayaran berjumlah RM2.1 bilion iaitu RM1.2 billion lebih tinggi berbanding RM913 juta pada tahun kewangan 2018.

Prestasi kewangan yang semakin baik itu berasaskan strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat yang menyumbang kepada pertumbuhan agihan kewangan pada 2019.

TH berkata ia berjaya memperoleh pendapatan pelaburan sebanyak RM3.3 bilion yang mana RM1.2 bilion daripadanya dijana pada suku keempat 2019.

"Secara keseluruhannya, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dengan pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM500 juta (15 peratus), RM500 juta, (15 peratus) dan RM400 juta (12 peratus),’’ kata syarikat itu.

- Bernama