Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Siasatan dalaman isu pertukaran tanah Mindef akan diteruskan

Siasatan dalaman Kementerian Pertahanan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan urusan kementerian itu pada masa lalu akan diteruskan, kata Ismail Sabri.

Ismail, yang merupakan menteri pertahanan baru di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN), berkata ini termasuk siasatan yang disenaraikan di bawah Kertas Putih Kementerian Pertahanan yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas.

"Siasatan dalaman oleh kementerian? Ya, siasatan yang telah dimulakan (oleh pentadbiran terdahulu) akan diteruskan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya selepas kabinet ditubuhkan di Kementerian Pertahanan pagi ini.

"Semua. Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, semua siasatan yang telah dijalankan akan diteruskan," tambah Ismail semasa ditanya sama ada ia termasuk siasatan ke atas transaksi pertukaran tanah melibatkan tanah tentera yang didakwa menyebabkan kerajaan kehilangan kira-kira RM500 juta.

Tahun lepas, menteri pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa wujud kepentingan politik dalam 13 daripada 16 tawaran pertukaran tanah yang berlaku sejak tahun 1997.

Walaupun tidak menyebutkan nama tertentu, Mohamad berkata bahawa perdana menteri dan menteri pertahanan yang lalu terlibat dalam perjanjian ini.

Perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad juga telah berjanji bahawa perdana menteri sebelumnya yang terlibat di dalam perjanjian pertukaran tanah akan disiasat.

Semasa sidang akhbar hari ini, Ismail menambah bahawa tidak ada masalah dalam meneruskan siasatan tersebut, kerana Kertas Putih Pertahanan telah dibentangkan di Parlimen dan diluluskan oleh ahli parlimen.

Beliau berkata pentadbiran baru juga akan melihat kertas itu dan melihat sama ada ia boleh ditambah baik.

"Semasa perbahasan (berhubung kertas putih parlimen), banyak pendapat telah dikongsi oleh ahli parlimen mengenai bagaimana angkatan tentera dapat diperbaiki.

"Semua itu akan kita teliti, dan jika ada keperluan untuk memperkenalkan penambahbaikan, kita akan melakukannya," katanya.

Mengenai mesyuarat pertamanya dengan pegawai tertinggi kementerian termasuk Ketua Setiausaha Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Ismail berkata beliau diberi taklimat mengenai kesediaan tentera negara.

Mereka juga membincangkan bagaimana langkah-langkah pertahanan negara dapat dipertingkatkan, serta kebajikan anggota tentera dan pesara tentera.

"Satu lagi perkara yang kita bincangkan adalah mengenai hubungan kita dengan rakyat (awam)."Kami membincangkan tentang slogan tentera - 'Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada' - dan rancangan untuk program mesra rakyat," katanya.