Solat Jumaat di Wilayah Persekutuan diteruskan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad mengumumkan bahawa solat Jumaat di Wilayah Persekutuan untuk hari ini diteruskan.
“Setelah mendapat perkenan kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, solat Jumaat di wilayah-wilayah Persekutuan untuk hari ini diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Zulkifli yang juga adalah bekas mufti Kuala Lumpur, semua pihak perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Khutbah solat Jumaat dipendekkan, jemaah mengambil wuduk di rumah dan pihak masjid diminta menyediakan penutup mulut dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Manakala, mereka yang mengalami simptom Covid-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.
Pagi tadi, Zulkifli memberitahu wartawan arahan untuk solat Jumaat digantikan dengan solat Zuhur di rumah hanya akan diputuskan dalam tempoh beberapa jam lagi memandangkan pihaknya masih berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai hal ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan negeri Perlis yang memutuskan menggantikan solat Jumaat dan tindakan Singapura menutup semua masjid di negara itu.
Setakat semalam, Malaysia telah merekod 158 kes jangkitan Covid-19.
KKM juga mengesahkan seorang lelaki yang positif Covid-19 adalah antara ribuan yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.
Bagaimanapun, fatwa mengenai solat Jumaat ketika berlakunya penyebaran wabak yang bertukar menjadi pandemik global itu adalah berbeza-beza berdasarkan situasi semasa bagi setiap negara.
Beberapa negara Islam baru-baru ini mengeluarkan garis panduan kepada umat Islam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.
Arab Saudi misalnya mengeluarkan larangan sementara kepada umat Islam daripada mengerjakan ibadah Umrah, manakala Iran menghentikan solat Jumaat buat sementara waktu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai