Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahli majlis MyCC pula sah positif Covid-19

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengesahkan seorang daripada ahli suruhanjaya itu disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, MyCC berkata pada masa ini individu berkenaan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil

Bagaimanapun, MyCC berkata ia tidak dapat mengesahkan sama ada jangkitan berlaku seawal 29 Feb, dan individu yang dijangkiti jarang pergi ke pejabat MyCC sejak tarikh itu.

“MyCC sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengenal pasti individu-individu termasuk ahli yang lain, pekerja dan mereka yang merupakan kontak rapat kepada ahli yang dijangkiti dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam hal itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai yang pernah melawat dan berinteraksi dengan ahli suruhanjaya terbabit dari 29 Feb dan seterusnya supaya pergi ke klinik atau hospital sekiranya mereka mempunyai simptom penyakit itu.

“Nasihat ini juga ditujukan kepada peserta, penceramah, moderator dan sekretariat Bengkel Isu-isu Terkini Persaingan di Malaysia yang berlangsung di Hotel Corus pada 4 Mac,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, MyCC berkata semua aktiviti yang telah dirancang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, dan pejabatnya di Tingkat 15, Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ditutup mulai hari ini sehingga esok, dan semua pekerja akan bekerja dari rumah.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa yang sama MyCC sedang bekerjasama rapat dengan pengurusan bangunan untuk melakukan disinfeksi menyeluruh premis pejabat MyCC pada 15 Mac.

“Mana-mana pihak yang ingin menghubungi MyCC boleh menggunakan e-mel di alamat [email protected] dan aduan boleh dihantar secara dalam talian di www.mycc.gov.my/e-complaint," katanya.

- Bernama