Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isu 4 Adun Bersatu sokong PH Selangor dirujuk ke pusat

Pakatan Harapan (PH) Selangor akan merujuk kepada kepimpinan pusat gabungan itu terlebih dahulu sama ada akan menerima sokongan empat Adun Bersatu terhadap pentadbiran kerajaan negeri itu atau tidak.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata pihaknya telah menerima akuan bersumpah (SD) sokongan empat Adun tersebut baru-baru ini.

Namun, katanya, keputusan sama ada mereka akan ‘dilayan’ sebagai sebahagian pentadbiran negeri atau tidak, akan dibuat oleh kepimpinan pusat pakatan tersebut.

“Setakat ini, saya sudah merujuk (isu sokongan ADUN Bersatu) kepada Majlis Pimpinan PH negeri dan akan rujuk pula kepada kepimpinan PH pusat.

“Ini bagi mendapatkan penjelasan dan kelulusan sama ada saya dibenarkan atau tidak untuk menerima mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri atau terus melayan mereka sebagai pembangkang,” katanya kepada pemberita di Pelabuhan Klang, hari ini.

Ditanya sama ada empat Adun Bersatu itu turut menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, Menteri Besar Selangor itu menyatakan, kesemuanya masih dalam parti yang dianggotai mereka.

Selepas Bersatu mengumumkan keluar daripada gabungan PH baru-baru ini, empat Adun parti itu di Selangor kekal berpendirian untuk terus menyokong kerajaan negeri yang ditadbir pakatan tersebut.

- Bernama