Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

173 peserta tabligh buat saringan di Klinik Kesihatan Tawau

Seramai 173 orang dari Tawau yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas, telah tampil mendapatkan saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawau di sini sehingga pukul 5 petang tadi.

Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran berkata, mereka adalah antara 350 jemaah tabligh dari Tawau yang menyertai perhimpunan itu.

"Kesemua mereka termasuk ahli keluarga masing-masing, menjalankan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

"Kita menjangkakan rakan-rakan mereka (peserta perhimpunan tabligh yang lain) akan datang untuk mendapatkan pemeriksaan," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di Tawau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim berkata pihak hospital itu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jangkitan itu di daerah ini.

"Pada masa ini, Hospital Tawau telah menyediakan 60 katil untuk satu-satu masa dan boleh ditambah lagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyiarkan sebarang maklumat tidak jelas mengenai COVID-19 di media sosial, dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.

- Bernama