Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Covid-19: Berita kematian di Hospital Tawau palsu

Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti daripada menyebarkan berita palsu kononnya seorang lelaki yang disyaki dijangkiti Covid-19 meninggal dunia di Hospital Tawau.

Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran berkata maklumat yang tersebar di media sosial itu tidak benar, dan menegaskan lelaki berumur 58 tahun itu hanya disyaki dijangkiti virus tersebut dan masih dalam pemerhatian di hospital berkenaan.

"Besar kemungkinan orang yang menyebarkan berita palsu itu terlihat ada pesakit yang meninggal dunia dibawa keluar dari Unit Rawatan Rapi Hospital Tawau.

“Namun ia tiada kaitan dengan lelaki yang sedang dalam pemerhatian kerana disyaki mengalami simptom Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita di hospital itu hari ini.

Tular satu mesej di media sosial hari ini yang mendakwa terdapat kematian di Hospital Tawau akibat Covid-19.

Dr Navindran berkata lelaki itu disyaki dijangkiti virus tersebut selepas kembali daripada menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lepas, dengan seorang peserta dari Brunei disahkan positif wabak berkenaan.

Beliau turut memaklumkan hampir 30 orang yang menyertai perhimpunan itu tampil di Hospital Tawau untuk pemeriksaan malam tadi.

- Bernama