Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Badan Peguam Malaysia teruskan AGM Sabtu ini

Badan Peguam Malaysia akan meneruskan rencana mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM) di Wisma MCA di Kuala Lumpur Sabtu ini walaupun terdapat kebimbangan berhubung Covid-19.

Kebimbangan itu telah dibangkitkan oleh beberapa peguam setelah salah seorang rakan mereka yang menghadiri mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Kuala Lumpur di tempat yang sama pada 27 Feb lepas dilaporkan positif Covid-19.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak mempunyai ruang menangguhkan AGM itu kerana Seksyen 64 (1) Akta Profesion Undang-undang (LPA) menyatakan bahawa ia mesti diadakan sebelum 1 April.

"Kami tidak boleh menangguhkannya. Tidak ada ruang untuk berbuat demikian dalam LPA.

"Kami akan bertindak mengikut peruntukan LPA," kata Abdul Fareed kepada Malaysiakini.

Difahamkan bahawa Majlis Peguam telah mengeluarkan notis peringatan agar anggotanya menghadiri AGM yang memerlukan kuorum 500 orang.

Ditanya langkah yang akan diambil jika kuorum tidak dipenuhi, Abdul Fareed hanya berkata: "Jangan risau tentang semua itu.

"Kami akan mengendalikannya mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur Harleen Kaur dalam satu notis mengesahkan bahawa seorang ahli yang menghadiri mesyuarat agung tahunan itu pada 27 Feb positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah sebelum ini menggesa semua perhimpunan ditangguhkan dan mengingatkan pesakit yang mengalami gejala jangkitan pernafasan untuk mengelakkan khalayak ramai, termasuk aktiviti keagamaan.