Warganet gesa Mah guna bahasa Malaysia di Facebook
Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon dikritik oleh warganet kerana memuat naik hantaran dalam bahasa Cina di akaun Facebook beliau, sempena hari pertamanya bekerja di kementerian itu, semalam.
Rata-rata warganet menegur beliau supaya mengutamakan bahasa Malaysia berbanding bahasa Cina dalam hantarannya itu.
Salah seorang pengguna Facebook dengan nama Kamarudin Abdullah menulis di ruang komen: “Yb... Mana bahasa kebangsaan? Yb adalah menteri bagi rakyat Malaysia bukan untuk satu kaum saja. Hormati sensitiviti kaum lain juga. Nak guna bahasa ibunda, ada tempatnya, tak ada siapa larang.”
“Kita semua kena pakai 'see translation' ke bro?” kata seorang lagi pengguna lain.
Timbalan presiden MCA itu dalam hantarannya semalam mengucapkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana memberikannya peluang untuk menyandang jawatan timbalan menteri pendidikan.
Setakat ini, hantaran Mah mendapat 1,200 komen dan 716 perkongsian dalam tempoh kurang 24 jam. Bagaimanapun, beberapa mesej yang dibalas dalam bahasa Cina di ruangan komen menunjukkan sokongan terhadap beliau dalam tugas barunya itu.
Hari ini, Mah memuat naik mesej yang sama di laman Facebook beliau versi Bahasa Malaysia. Pautan hantaran tersebut turut disertakan dalam laman Facebooknya versi Cina.
Rata-rata daripada warganet meninggalkan mesej sokongan terhadap hantaran beliau dalam bahasa Malaysia itu, tetapi terdapat di antara mereka yang terus mengkritik beliau.
“Sila guna bahasa Malaysia. Kalau nak guna bahasa lain letak jawatan. Jangan jadi puak DAP pulak,” tulis pengguna lain.
Ada juga yang menyamakannya dengan DAP dan memberi amaran supaya tidak menjadi seperti parti dalam gabungan PH itu.
“Mohon jgn buat perangai macam DAP,” tulis Mohd Sabri Sabri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai