Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAS Pahang tak tuntut jawatan exco, enggan ganggu kerajaan negeri

PAS Pahang tidak akan mengganggu atau menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, kata pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar.

Bercakap dalam sidang media di Temerloh hari ini, beliau berkata PAS Pahang membuat keputusan untuk memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan kerajaan negeri yang kini diterajui BN.

Katanya pendirian itu dibuat selepas melihat jentera kerajaan berjalan dengan baik dan lancar.

Bagaimanapun kata Rosli, PAS berminat untuk menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Pahang yang ditawarkan kerajaan negeri.

“Kami tidak akan menuntut dan - dalam erti kata lain - tidak bersedialah untuk menerima jawatan tersebut pada ketika ini sehinggalah PRU15, kecuali kalau ada arahan dari peringkat Perikatan Nasional (PN) pusat,

"Kalau ada arahan-arahan yang sedemikian (kemudian hari) maka kami akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Pahang.

Sidang media itu turut disiarkan secara langsung di media sosial.

Peranan semak dan imbang

Terdahulu Rosli mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan PAS di situ.

Untuk rekod, selain Perlis, Pahang adalah negeri yang ditadbir oleh BN semasa zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan dulu, manakala PAS menguasai Kelantan dan Terengganu.

Sesetengah pihak melihat Umno dan PAS mahu mengekalkan status quo bagi mengelak membawa masuk parti lain dalam kerajaan negeri.

Abdul Jabar berkata PAS Pahang tidak berhajat untuk mengganggu urusan kerajaan negeri yang dijalankan dengan baik ketika ini.

Menurut Adun Tanjung Lumpur itu PAS bersedia menyumbang buah fikiran, tenaga dan khidmat kepakaran untuk menguruskan kerajaan negeri dengan lebih baik terutama dalam agensi-agensi kerajaan.

Pada masa sama katanya Adun PAS akan tetap meneruskan peranan semak dan imbang walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Beliau juga berkata PAS Pahang tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan sekiranya ada tawaran untuk menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau anak syarikat kerajaan negeri.