Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sawit: Khairuddin komited jalin hubungan lebih baik dengan India

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baru, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali komited untuk membina hubungan Malaysia dengan India yang lebih baik, khususnya bagi melonjakkan eksport minyak sawit.

Eksport komoditi itu mengalami penurunan selepas jalinan di antara kedua-dua negara menjadi tegang susulan pertikaian politik yang dikaitkan dengan kritikan ke atas tindakan New Delhi di Kashmir serta undang-undang kewarganegaraan baru.

Beliau berkata kementerian akan menghantar delegasi ke India secepat yang mungkin untuk menyelesaikan isu berkenaan menerusi perundingan.

“Kita akan sediakan kertas kabinet untuk isu ini. Antara langkah awal (yang) kita (laksanakan) dalam kerajaan baru ialah membina hubungan dengan India (yang lebih baik) khusus berkaitan isu sawit,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata bagi kertas Kabinet itu, antara cadangan adalah untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan rasmi ke India.

Selain itu, kementerian tersebut, yang dikenali sebagai Kementerian Industri Utama sebelum ini, akan terus memperkukuh dan menambah baik dasar yang dibuat oleh kerajaan lepas.

Antara yang diberikan tumpuan adalah pelaksanaan Program B20 Biodiesel yang melibatkan adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dengan 80 peratus petroleum diesel bagi sektor pengangkutan.

Fokus beliau turut terarah untuk membantu golongan pekebun kecil getah melalui kenaikan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Saya ada hasrat untuk menaikkan kadar IPG bagi getah sekerap kepada lebih tinggi tetapi kementerian kena kaji terlebih dahulu, dan saya berharap ia akan menjadi yang terbaik kepada penoreh getah.” katanya.

-Bernama