Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Zuraida: Ini bukan habuan buat kem Azmin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menepis dakwaan kem bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali seolah-olah mendapat habuan apabila hampir semuanya diberikan jawatan dalam kabinet.

Kata anggota Parlimen Ampang itu, jawatan yang diterima mereka bukanlah habuan, sebaliknya diberikan mengikut kesesuaian.

“Bukan isu habuan. Dalam komponen itu adalah komponen Bersatu.

“Jadi bila komponen Bersatu menjadi satu daripada komponen yang terbesar, jadi diberikan mengikut kesesuaian sebenarnya. Tak ada isu itu (habuan).

“Yang lain itu ramai, yang ini (bekas PKR) ini sepuluh (orang). Jadi dia sikit, jadi dia mudah untuk dihabiskan (diberikan jawatan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi merakam waktu mula bekerja di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya, hari ini.

Sembilan daripada sepuluh anggota parlimen kem Azmin yang menyokong Muhyiddin Yassin mendapat jawatan dalam kabinet sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.

Hanya timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon yang tidak diberikan sebarang jawatan dalam kabinet.

Sebelum itu, Zuraida yang tiba pada jam 12.50 tengah hari, dilihat ceria sambil bersalaman dengan kakitangannya yang menunggunya di lobi bangunan.

“Saya harap anda gembira (berjumpa saya),” katanya ketika melangkah masuk ke lobi dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.