‘Tak disebut Dr M kembali bersama PH, tapi akan kerjasama’
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menjelaskan soal sama ada Dr Mahathir Mohamad akan kembali menyertai PH tidak timbul dalam pertemuan antara pemimpin Amanah dengan bekas perdana menteri itu semalam.
Sebaliknya yang dibincangkan ialah kesediaan Mahathir untuk bekerjasama dalam menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Tak disebut (Mahathir) akan balik bersama PH, tapi kita akan bekerjasama.
"Sebab mereka (Bersatu) menghadapi pemilihan mereka, jadi kita bagi ruang untuk mereka selesai pemilihan mereka (dulu) lah," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Mahfuz yang juga merupakan anggota Parlimen Pokok Sena membuat hantaran di Facebook menunjukkan "pertemuan hati ke hati" antara beberapa pemimpin Amanah dengan Mahathir.
Dia memuat naik beberapa keping gambar antara lain menunjukkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu; timbalan, Salahuddin Ayub; dan dua naib presiden Dr Mujahid Yusof serta Husam Musa turut menyertai pertemuan.
Turut hadir dalam pertemuan selama kora-kira satu jam di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya itu ialah Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya.
Mengulas lanjut, kata Mahfuz, pertemuan semalam dilakukan bagi kepemimpinan Amanah melihat apakah pendirian terbaru Mahathir selepas terjadinya krisis politik yang menumbangkan kerajaan PH.
"Kita nampak pendirian dia (Mahathir) tidak berubah. Dia sama sekali tidak dapat menerima kerajaan (PN) yang dibentuk ini.
" Walaupun mereka yang dilantik tak ada apa-apa kes mahkamah, tapi mereka inilah antara pendukung kepada kleptokrat, kepada Najib (Razak) dulu, sampai pilihan raya umum (PRU).
"[...] Sudah tentu matlamat untuk mmbersihkan atau membebaskan kleptokrat dari sebarang pertuduhan itu merupakan agenda mereka," katanya.
Tambahnya, hasil pertemuan semalam menunjukkan Mahathir akan tetap melibatkan diri dalam usaha menyelamatkan Malaysia buat kali kedua, terutamanya daripada golongan “kleptokrat”.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah pertemuan semalam turut mewakili pendirian PH, Mahfuz menjelaskan ia hanya melibatkan Amanah dan tidak membabitkan PH.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai