Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari 13: Peguam bidas saksi tak berperanan sebagai pegawai penyelia

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, hari ini masuk hari ke-13 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


4:15 petang: Mahkamah ditangguhkan ke pagi esok, di mana peguam bela Akberdin Abdul Kader akan menyambung sesi soal balas terhadap Alias Ahmad.


3.56 petang: Prosiding disambung semula.


3.47 petang: Mahkamah berhenti rehat seketika.


Peguam bidas saksi kerana tak berperanan sebagai pegawai penyelia

3.40 petang: Peguam Akberdi Abdul Kader mengatakan kepada Alias ​​Ahmad bahawa penubuhan jawatankuasa pengurusan perolehan selepas Surat Perjanjian dikeluarkan kepada Jepak Holdings adalah sia-sia.

Alias ​​bersetuju dengan kenyataan itu, tetapi berkata beliau telah dinasihatkan oleh timbalannya pada masa itu untuk tetap menubuhkan jawatankuasa bagi menyelia perkara-perkara seperti struktur projek panel solar.

Akberdin kemudian mengatakan Alias tidak berperanan sebagai pegawai yang menyelia, dan menjadi bahan ketawa kepada Kementerian Kewangan yang secara berterusan membantah permintaan Alias untuk bayaran pendahuluan, dan pengecualian khas bagi prosedur perolehan.

Bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu berkata dia tidak maksum daripada kesilapan, dan pegawai-pegawainya yang lebih berpengalaman sepatutnya menasihati beliau.

Bagaimanapun, beliau tetap mengatakan pengeluaran Surat Setuju terima (LOA) bukan kesalahannya.


3 petang: Peguam bela, Akberdin Abdul Kader berkata kepada Alias ​​Ahmad bahawa apa sahaja arahan yang dikeluarkan oleh perdana menteri adalah tanggungjawab agensi-agensi kerajaan yang terbabit melalui 'supervising officer' untuk memastikan pelaksanaan mengikut prosedur.

Alias ​​bersetuju.

Akberdin kemudian berkata dalam kes projek solar, terdapat kecuaian melampau apabila projek itu tidak melalui penilaian, seperti yang dikehendaki oleh prosedur, sebelum surat kelulusan dikeluarkan.

Alias turut ​​bersetuju dengan pernyataan tersebut.


2.30 petang: Mahkamah kembali bersidang. Akberdin menyambung semula pemeriksaan balas.


12.45 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari.


12.40 tengah hari: Akberdin berkata surat daripada Jepak Holdings kepada Najib pada 5 Jan 2017 mengandungi permintaan Alias dilantik sebagai pengerusi tetap Lembaga Tender A, yang akan menyelia projek panel solar.

Jepak juga bertanya Alias ​​tentang diberi kuasa mutlak untuk membuat keputusan mengenai projek itu tanpa gangguan, dan untuk melaksanakan kontrak berkenaan.

Akberdin kemudian bertanya sama ada Alias, yang menafikan kewujudan surat itu, mengenali pengarah urusan Jepak Holding Saidi Abang Samsudin.

Akberdin: Datuk kenal owner Jepak, Saidi?

Alias: Tak kenal.

Akberdin: Pernah main golf dengan dia?

Alias: Tak.

Akberdin: Di Bintulu golf course?

Alias: Tak, di Tropicana.

Akberdin: Di Bintulu?

Alias: Tak pernah.

Akberdin: Pernah main golf dengan dia di luar negara?

Alias: Tak pernah sekali pun.

Akberdin: Kalau kamu tak kenal dia, tak rapat dengan dia, kenapa dia nak bagi  kamu kuasa mutlak?

Tidak jelas jika jawapan Alias ​​'tentang bermain golf di Tropicana' bermaksud hanya dia bermain di sana, atau jika dia bermain dengan Saidi di padang golf berkenaan.


Saksi nafi salah guna kuasa untuk buang klausa dari LOA Jepak

12.20 tengah hari: Peguam Akberdin Abdul Kader bertanya mengapa jawatankuasa rundingan harga hanya ditubuhkan selepas Surat Setuju Terima (LoA) untuk Jepak Holdings dikeluarkan.

Peguam berkata, jawatankuasa itu sepatutnya ditubuhkan sebelum surat itu dikeluarkan,sebagaimana garis panduan Kementerian Kewangan, yang mana dipersetujui oleh Alias Ahmad.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan itu bagaimanapun, mengatakan beliau mempunyai penjelasan mengenai perkara itu.

Alias dijangka memberi penjelasan itu kemudian apabila dia diperiksa semula oleh pihak pendakwa.

Akberdin kemudian menuduh Alias menyalahgunakan kuasanya dengan menghapuskan klausa dalam LoA yang akan membolehkan kerajaan menghentikan kerja dan membuat potongan daripada apa-apa kerja yang belum selesai.

Alias menafikan dakwaan itu.

Semalam, bekas pegawai kanan kementerian pendidikan, Kamarudin Abdullah berkata klausa itu dikeluarkan atas arahan daripada menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid.


12:30 tengah hari:  Akberdin membawa perhatian Alias ​​'kepada surat dari Jepak Holdings kepada Najib pada 5 Jan 2017.

Surat itu menyaksikan Jepak meminta kelulusan segera daripada Najib bagi Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan surat tawaran bagi projek panel solar.

Ia mengandungi minit oleh Najib yang mengarahkan Alias ​​untuk: "Sila pantau pelaksanaan projek ini dan ikut prosedur supaya ia tidak memberi kesan kepada pembelajaran pelajar".

Perkataan mengikut prosedur itu digariskan.

Surat itu dikemukakan kepada Alias, dengan lampiran surat dari Jabatan Perdana Menteri bertarikh Jan 16 2017, dengan nota bahawa minit itu ditulis pada hari yang sama.

Alias, bagaimanapun, berkata dia tidak pernah melihat surat itu, dan tidak ada cop dari pejabatnya yang menandakan bahawa dia menerimanya.

Akberdin menuduh Alias berbohong. Beliau berkata dokumen itu disediakan oleh pejabat Alias ​​kepada SPRM dan kemudiannya dibekalkan kepada mahkamah, dan pihak pembelaan yang mengemukakannya.

Alias ​​menegaskan beliau tidak menerima surat tersebut.


Peguam asak saksi tentang LOA projek solar

11.52 pagi: Peguam bela, Akberdin Abdul Kader mengasak Alias tentang ​​mengapa Surat Setuju Terima (LOA) untuk projek panel solar bercanggah dengan keputusan Kementerian Kewangan pada 1 Nov untuk tidak memperuntukkan RM461.2 juta tambahan.

Peruntukan tambahan itu diminta oleh pendahulu Alias, Madinah Mohamad.

Akberdin berkata LOA menyatakan jumlah termasuk peruntukan tambahan yang ditolak.

Alias ​​menjawab bahawa surat Kementerian Kewangan pada 1 Nov juga menyatakan bahawa projek itu boleh diteruskan berdasarkan belanjawan tahunan kementerian.

Akberdin terus menekan Alias berhubung kelulusan LOA yang bercanggah dengan keputusan Kementerian Kewangan, yang mana dinafikan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan itu.

Selepas beberapa kali Alias ​memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menulis LOA berkenaan.

Dalam kenyataan saksinya sebelum ini Alias berkata beliau tidak pasti sama ada beliau terlibat dalam merangka LOA berkenaan, tetapi melihatnya beberapa minggu selepas ia ditandatangani menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid.

Akberdin menuduh Alias ​​berbohong tentang penglibatannya dalam LoA berkenaan.

Akberdin: Kamu bohong, kamu tahu tentang LOA ini. Menurut pekeliling Kementerian Kewangan, siapa yang harus menyediakan LOA adalah controlling officer (Ketua Setiausaha).

Alias: Saya setuju (apa yang disebut pekeliling) tetapi itu tidak berlaku.

Selepas dituduh berbohong beberapa kali, Alias ​​memberitahu mahkamah bahawa terdapat sistem di kementerian itu di mana beliau mewakilkan kepada timbalannya dan lain-lain kerana dia tidak dapat mengawal kementerian itu "100 peratus".

"Jika mereka (timbalan saya dan pegawai) tidak datang kepada saya, saya tidak akan tahu apa yang berlaku," katanya.


11.35 pagi: Mahkamah kembali bersidang.


11:20 pagi: Mahkamah berhenti rehat seketika selepas Alias selesai ​​membaca kenyataan saksinya.


Saya ambil serius pertanyaan Rosmah kerana dia isteri PM - Saksi

10.50 pagi: Alias ​​berkata dia ada berbual dengan Rosmah - pada tarikh yang dia tidak ingat - di mana dia bertanya kepadanya tentang bayaran pendahuluan untuk Jepak dan bila ia boleh dilakukan kerana syarikat itu tidak boleh beroperasi tanpa bayaran berkenaan.

Alias mengatakan bahawa dia memaklumkan kepada Rosmah bahawa pendahuluan itu tidak boleh dibayar kerana syarikat insurans Jepak tidak berlesen.

Beliau menambah Rosmah juga bertanya kepadanya bila kontrak dengan Jepak akan ditandatangani kerana tanpanya bayaran pendahuluan tidak boleh dibuat.

Beliau memaklumkan kepada Rosmah bahawa Jepak tidak menyediakan draf perjanjian untuk disemak semula oleh Kementerian Pendidikan.

Perbualan terhenti setakat itu, katanya.

Alias menambah beliau mengambil serius pertanyaan Rosmah kerana dia adalah isteri perdana menteri, dan dengan itu mengarahkan pegawainya mencari jalan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang melibatkan pembayaran kepada Jepak dan penyediaan kontrak.


Rizal minta bayaran kepada Jepak dipercepatkan

10:45 pagi: Alias ​​memberitahu mahkamah bahawa pembantu Rosmah, Rizal Mansor ketika itu pernah menghubunginya meminta pembayaran kepada Jepak Holdings dipercepatkan.

Alias berkata beliau tidak pasti jika ini merujuk kepada bayaran pendahuluan atau bayaran kerja.

Katanya, beliau menjelaskan kepada Rizal masalah berhubung perkara itu.

Alias ​​berkata beliau percaya Rizal bertanya bagi pihak Rosmah.


'Diluluskan permohonan ini, sila keluarkan pendahuluan dengan segera'

10.27 pagi: Alias memberi keterangan ​​bahawa beliau menerima melalui WhatsApp, surat daripada Jepak Holdings kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Surat yang terkandung minit untuk Alias daripada Najib itu berbunyi: "Diluluskan permohonan ini, sila keluarkan pendahuluan dengan segera"

Ini berhubung permintaan untuk mendapatkan RM130 juta pendahuluan untuk projek solar hibrid.

Alias ​​berkata, beliau kemudian mengarahkan bekas pegawai kanan Kementerian Pendidikan, Kamarudin Abdullah untuk mengambil tindakan segera.

Bagaimanapun Kementerian Kewangan menolak pendahuluan RM130 juta, dengan mengatakan hanya 25 peratus atau RM10 juta boleh dibayar terlebih dahulu, yang mana lebih tinggi.


10.04 pagi: Alias memberi keterangan bahawa beliau tidak ingat jika beliau terlibat dalam merangka surat setuju terima (LOA) untuk projek solar.

Bagaimanapun saksi itu berkata beliau melihat surat berkenaan selepas ia ditandatangani oleh menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid.


9.58 pagi: Prosiding bermula


9.50 pagi: Tertuduh, Rosmah Mansor memasuki kandang tertuduh.

Peguam Shafee Abdullah dilihat muncul seketika dalam bilik mahkamah dan bercakap dengan peguam bela Azrul Zulkifli Stork.

Shafee mewakili suami Rosmah, Najib Razak, yang sedang dalam perbicaraan bagi dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, di mahkamah berasingan. [Baca sini]

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Alias ​​Ahmad yang merupakan saksi ke-12, dilihat berada di kandang saksi.


Bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan, Alias Ahmad dijangka dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan.

Menurut bekas Setiausaha Bahagian (SUB) di bahagian perolehan dan pengurusan aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kamarudin Abdullah, Alias merupakan individu utama yang ditekan oleh Jepak Holdings bagi mendapatkan pendahuluan untuk projek panel solar.

Alias juga dilaporkan menerima beberapa minit daripada perdana menteri ketika itu, Najib  Razak untuk meluluskan pendahuluan sebanyak RM130 juta kepada syarikat itu.