Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr Dzulkefly ketuai pasukan khas tangani Covid-19 di S'gor

Majlis Tindakan Khas Covid-19 Negeri Selangor bersepepakat untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas yang diketuai bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagi membendung ancaman wabak tersebut.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari, menjelaskan tindakan itu dilakukan susulan 60 peratus rakyat yang dijangkiti virus tersebut merupakan warga negeri Selangor.

"YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah bersetuju untuk mengetuai task force ini," katanya dalam satu kenyataan. 

Amiruddin berkata, orang ramai khususnya di Selangor tidak perlu khuatir kerana keadaan setakat ini masih terkawal.

“Langkah-langkah pencegahan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia wajar dipatuhi bagi mengelakkan berlaku jangkitan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini berdepan gelombang kedua penyebaran Covid-19 selepas jumlah kes yang disahkan di negara ini baru-baru ini melonjak kepada 117 kes.

Sementara itu, Amirudin menambah pasukan petugas khas itu akan bekerjasama dengan Smart Selangor Command Centre bagi menjejak virus tersebut dengan menggunakan sistem maklumat geografi.

“Maklumat ini kemudiannya akan dikongsikan dengan pihak-pihak berwajib untuk langkah-langkah seterusnya.

“Kerajaan negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini,” katanya lagi.