Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Fahmi sambut baik lantikan Zulkifli

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, menyambut baik pelantikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya sedang teliti (kabinet baru). Apapun bagi saya yang baik keterlibatan Dr Zulkifli (sebagai menteri hal ehwal agama Islam).

"Saya ucapkan beliau selamat maju jaya walaupun beliau penyokong Liverpool.

"Saya ingat beliau seorang berfikiran adil. Dia akan bersikap profesional sebagai menteri hal ehwal agama," katanya kepada pemberita di Majlis Pertahan Mandat Rakyat di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Terdahulu, beliau diminta mengulas pembentukan barisan jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Petang tadi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan kabinetnya dan bekas mufti wilayah itu dilantik ke dalam barisan jemaah menteri kerajaan PN.

Dalam catatan di Facebook selepas pengumuman tersebut beliau terus menuju ke Masjid Slim River, Perak untuk menyampaikan kuliah maghrib bulanan.

⁣"Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan saya agar saya dikurniakan Allah SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan saya," katanya sambil memetik sebuah hadis diriwayatkan Abdullah Salam.

Fahmi Fadzil yang juga anggota parlimen Lembah Pantai turut ditanya pemberita mengenai kabinet baru daripada segi keterlibatan wanita, purata umur anggota kabinet dan jumlah anggotanya.

"Buat masa ini, sama nampaknya jumlah wanita dalam kabinet baru cuma 12.85 peratus sahaja. Kalau dibandingkan dengan waktu PH dahulu kita lebih ramai wanita. Ini satu perkara yang dikesali."

"Saya masih cuba menilai realiti 50 peratus warga Malaysia adalah perempuan. Bagaimana 13 peratus wanita di kabinet boleh mewakili 50 peratus penduduk sebenar?" Soalnya.

'Muhyiddin tak yakin PAS' - Hanipa

Beliau juga mempersoalkan kewajaran purata umur anggota kabinet yang berusia lewat 50 tahun berbanding purata usia warga Malaysia di bawah 50 tahun.

"Saya tidak tahu adakah kabinet ini mewakili rakyat Malaysia," katanya.

Fahmi juga berkata kabinet baru Muhyiddin lebih besar berbanding ketika pentadbiran PH.

"Ini kabinet mengembang. Daripada 56 anggota waktu PH sekarang mencecah 70," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata mungkin Muhyiddin tidak yakin dengan PAS menjadi punca parti itu cuma mendapat tiga jawatan saja dalam jemaah menteri.

"PM mungkin tak yakin dengan PAS. Ini masalah dengan PAS. Rakyat tidak percaya PAS boleh mentadbir kerajaan. Bukan menang jawatan tapi mentadbir kerajaan perkara berbeza sama sekali.

"Saya percaya PM memahami situasi ini," katanya yang juga AJK Pusat Amanah itu.

Menurut Hanipa, kabinet ini juga memikul satu beban kerana kerajaan sekarang kerajaan pintu belakang.

"Orang-orang ini (barisan kabinet) perlu turun padang untuk berjumpa rakyat dan pengundi yang tidak undi mereka. Ini isu legitimasi akan menjadi masalah kepada mereka," katanya.

Petang tadi, perdana menteri mengumumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dijadikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), manakala, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

PAS mempunyai 18 kerusi parlimen berbanding kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang hanya memiliki sembilan ahli parlimen yang telah menyertai Bersatu tetapi diberikan tiga portfolio kementerian.

Dalam pada itu, MP Sepang juga mempersoalkan sekiranya kerajaan pimpinan Muhyiddin berada dalam keadaan stabil.

"Persoalannya, adakah kerajaan ini stabil?" Soalnya ketika diminta mengulas kabinet baru.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar pula memberitahu Malaysiakini malam tadi, beliau tidak dapat menjangkakan seberapa lama kabinet ini dapat bertahan.

"Saya hanya nak kata kalau betul yang dilantik adalah bersih dan berintergriti biar rakyat menilaikan.

"Sebab itu yang Muyhiddin kata betul tak? Jadi, biar mereka lihat kabinet ini dan membuat penilaian sama ada angggota menteri bersih atau tidak," katanya.