Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kabinet baru dijangka dibarisi campuran ahli politik dan teknokrat

Gabungan ahli politik dan teknorat dijangka menyertai kabinet baru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata sumber.

Sebagai contoh, sumber turut membuat spekulasi bahawa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan boleh diterajui oleh golongan profesional. Bagaimanapun, tiada pengesahan bagi perkara ini.

"Bagi Kementerian Kesihatan, hampir pasti seorang doktor akan dilantik. Sedangkan untuk Kementerian Kewangan, ia boleh jadi seorang yang berpengalaman luas dalam sektor perbankan.

"Senarai calon telah disemak oleh SPRM dan polis.

"Jadi, ia akan menjadi kabinet yang bersih seperti yang dijanjikan oleh perdana menteri, di mana ia akan dibarisi oleh mereka yang tidak mempunyai sebarang kes," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sumber itu juga turut mendakwa bahawa akan terdapat beberapa pelantikan yang tidak dijangka seperti penyertaan mufti.

"Bagi ahli politik, ia akan mengikut hirarki.

"Bermaksud, dalam kes Umno, sejak presiden (Ahmad Zahid Hamidi) memutuskan untuk tidak menyertai (kabinet), ia akan diberikan kepada orang kanan seterusnya (timbalan presiden Mohamad Hasan) dan sebagainya," tambah sumber itu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menyatakan Muhyiddin akan mengumumkan senarai jemaah menteri pada jam 5 petang ini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, untuk mempersembahkan senarai baru jemaah menteri yang dipilihnya.

Sementara itu, dalam kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Umno dan BN telah mengemukakan cadangan senarai yang berpotensi kepada perdana menteri untuk dipertimbangkan.

“Keutamaan diberikan berdasarkan kepada hierarki pemegang jawatan-jawatan utama dalam Umno dan BN.

“Muka-muka baru, tokoh-tokoh muda, profesional, teknokrat daripada BN dan 'friends of BN' turut dicadangkan namanya bagi pertimbangan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencari penyelesaian segera berkaitan isu yang menjadi keutamaan rakyat dalam 100 hari pertama mentadbir negara.

"Orang ramai menonton. PN mesti meyakinkan rakyat mengenai hala tuju dan dasarnya ... Rakyat mahu melihat perubahan segera.

“Kita tidak tertakluk kepada manifesto Pakatan Harapan, jadi lebih mudah kita fokuskan terlebih dahulu isu-isu dan penyelesaian yang menjadi keutamaan rakyat dan Perikatan Nasional.

“Rakyat mahu melihat Tabung Haji, Felda mesti dipulihkan segera. Nasib peneroka, generasi kedua Felda, petani, nelayan, penternak, peruncit dan peniaga kecil wajib diambil kepedulian segera," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menggesa kerajaan meneliti nasib pelajar di semua peringkat.

Pada catatan yang sama, Ahmad Zahid turut menggesa supaya keadilan dan pembelaan dapat diberikan kepada arwah Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia sewaktu rusuhan yang berlaku berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dua tahun lalu.