Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Muhyiddin nak jumpa? Buang pemimpin Umno dituduh rasuah dulu - Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya akan mempertimbangkan bertemu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassih jika presiden Bersatu itu 'membuang orang Umno yang dituduh rasuah' terlebih dahulu.

"Saya tidak tengok apa sebab nak jumpa melainkan dia sanggup buang orang itu (pemimpin Umno yang terpalit dakwaan rasuah) semua, maka mungkin boleh jumpa.

"Itu pun saya akan timbang dahulu," kata beliau, lapor The Malaysian Insight.

Terdahulu hari ini, Anggota MT Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Muhyiddin telah mengutus surat kepada Dr Mahathir Mohamad bagi mengatur pertemuan antara dua pemimpin ini.

Hal ini di tengah-tengah kemelut Dr Mahathir yang kecewa kerana Muhyiddin membentuk kerajaan PN bersama Umno, yang mana beberapa pemimpinnya sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Mahathir yang kini berada di Langkawi untuk menjelaskan kepada akar umbi Bersatu mengenai perkembangan politik semasa mengesahkan menerima surat daripada Muhyiddin yang meminta untuk diadakan pertemuan.

MP Langkawi bertegas beliau tidak dapat bekerjasama dengan pemimpin rasuah.

"Saya tidak boleh berdamai dengan orang yang dituduh di mahkamah mencuri billion-billion ringgit.

"Saya kata ahli Umno masuk Bersatu saya sedia terima dengan syarat mereka tinggal Umno dulu, dan masuk diri sendirilah.

"Tetapi Muhyiddin Yassin kata sanggup kerjasama dengan orang yang kena tuduh mencuri, itu saya tak boleh (terima)," tambahnya.

Muhyiddin telah mengumumkan Bersatu keluar PH bagi membentuk gabungan parti pemerintah baru bersama serpihan MP PKR, anggota parlimen BN, PAS dan GPS.

Ketika kemelut penjajaran politik yang menyaksikan runtuhnya pentadbiran PH, Dr Mahathir mencadangkan kerajaan perpaduan yang tidak selari dengan keputusan Bersatu tetapi gagasan ini tidak menjadi kenyataan apabila Muhyiddin berjaya dengan langkah mengambil alih tampuk kekuasaan negara.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu. Perdana menteri dijangkakan akan mengumumkan barisan kabinet baru pada Selasa ini.