Mat Sabu dakwa Muhyiddin ajak tubuh kerajaan tanpa DAP
Anggota Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mendakwa sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ada mendekatinya untuk membincangkan mengenai kerajaan tanpa parti DAP.
Menurut bekas menteri pertahanan itu, Presiden Bersatu itu mengajaknya berbuat demikian dengan menggunakan isu perkauman sebagai modal untuk mengambil alih kerajaan PH.
“Isu perkauman dipermainkan. Saya dipanggil untuk bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dia kata dia kena bincang, ‘kita kena bincang, kita dah ada jumlah undi yang cukup untuk mengambil alih pemerintahan tolak DAP, adakah abang Mat boleh setuju?"
“Saya jenis diam. Saya biasa kena maki, cakap macam mana pun saya diam saja. Saya kata tak boleh.
“Ya, kita PRK kita kalah di Cameron Highlands, Tanjung Piai, Kimanis, kalau kalah PRK kalah-kalah, PRU akan datang BN menang, ambillah pemerintahan ini!
“Kenapa rompak di tengah jalan? Ini kerajaan celaka merompak di tengah jalan,” katanya ketika berucap di ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Sri Andalas, Klang malam semalam.
Akhir bulan lalu, negara digemparkan apabila beberapa parti politik, termasuk dari Bersatu dan kumpulan PKR yang diketuai Azmin Ali berkumpul di hotel Sheraton, di Petaling Jaya untuk menyatakan sokongan kepada Mahathir.
Mahathir bagaimanapun meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana enggan bekerjasama dengan Umno, sementara Bersatu keluar dari PH untuk menubuhkan kerajaan bersama BN dan PAS.
Namun, selepas lebih seminggu kemelut itu, Muhyiddin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan, dengan sokongan Umno, PAS dan kumpulan Azmin, selain Gabungan Parti Sarawak.
Sejak itu, Mahathir dan pemimpin PH menggelar Muhyiddin sebagai pengkhianat.
“Daripada awal lagi bila kita (Mat Sabu) jadi menteri adalah datang mengorat-ngorat (datang dekati), bolehlah kita bersama berbincang.
“Saya kata Bang Mat ni dah biasa jadi pembangkang, kalau kata tidur ni di surau boleh, dewan, hotel satu bintang, enam bintang pun boleh, nak tidur tepi jalan pun boleh, nak tidur tepi surau, di istana pun boleh.
“Tapi dengan keadaan itu mereka anggap kita akan kejar apa saja demi menyelamatkan kedudukan sebagai jawatan menteri.
“Kalaulah kita kejar jawatan itu semata-mata, rakyat ditipu sekali lagi. Ini bukan sifat kita dalam perjuangan ini,” katanya.
Kerajaan pintu belakang sudah lama dirancang
Mohamad yang juga lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu juga mendakwa berdasarkan maklumat yang diperolehi ketika menyandang jawatan menteri pertahanan, perancangan mewujudkan kerajaan pintu belakang dengan menggulingkan kerajaan PH sudah lama berjalan.
“Saya tak faham apa yang berlaku pada dunia politik sampai ke peringkat ini untuk mengejar kuasa.
“Sebenarnya perancangan untuk menggulingkan kerajaan PH telah lama berjalan. Mereka memainkan orkestra yang dirancang bersama, sebab jangan lupa, saya ni menteri pertahanan.
“Saya dah dapat laporan risik, tapi sebagai menteri saya tak bolehlah dedahkan tu semua, sikit-sikit bolehlah,” katanya.
Beliau turut mengkiritk BN dan PAS yang sepatutnya bersabar untuk mengambil alih Putrajaya, memandangkan mereka telah berjaya mengalahkan PH dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
Namun, katanya, jalan sedemikian enggan dilakukan BN-PAS kerana berasakan PH telah menunjukkan hasil melalui prestasi mereka sebagai sebuah kerajaan.
“BN baru hilang kerajaan 2018, tanda-tanda kamu nak menang dah ada, PRK kamu menang, kenapa tak boleh tunggu? Kami (PH) boleh tunggu 60 tahun, kenapa kamu tidak boleh tunggu lima tahun?
“Kalau takut kalah, tak usah pakai sistem demokrasi, sekarang pun rakyat dah kecewa. Kami dipilih (menang pru14) sekaran apa yang berlaku? Yang menang jadi pembangkang, yang kalah jadi pemerintah.
“Tak pernah berlaku dalam dunia. Sebab tu dunia Eropah tak hantar tahniah lagi sampai hari ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai