Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Covid-19: Malaysia larang kapal persiaran berlabuh

Malaysia mengeluarkan larangan menyeluruh terhadap kapal persiaran daripada berlabuh di negara ini berikutan wabak Covid-19.

Akhbar The Star melaporkan larangan sementara itu berkuat kuasa serta merta selepas arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan.

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang turut mengeluarkan surat pekeliling kepada pemilik kapal, pihak berkuasa pelabuhan dan pengendali terminal.

Pekeliling itu berkata semua kapal persiaran disekat sementara daripada memasuki mana-mana pelabuhan Malaysia sehingga diberitahu kelak.

Notis yang sama dikeluarkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

"Kami berharap bahawa ini adalah langkah sementara dan dengan usaha bersepadu daripada semua pihak, ia akan diselesaikan secepat mungkin," kata Pengurus Besar LPK Kapten K Subramaniam.

Malaysia menyertai senarai negara yang mengharamkan kapal persiaran daripada memasuki pelabuhan mereka, selain Filipina, Taiwan, Hong Kong dan Jepun.

Beberapa kapal persiaran dikesan menyebarkan wabak berkenaan, terutamanya kapal Princess Diamond yang dikuarantin di pelabuhan Yokohama, menyaksikan ratusan kes jangkitan dan tujuh kematian.

Dua puluh satu orang lagi didapati positif wabak koronavirus itu di atas kapal Grand Princess, sebuah kapal persiaran yang tidak dibenarkan berlabuh di Teluk San Francisco.