Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr M: Muhyiddin pilih Najib, tak pilih saya

Dr Mahathir Mohamad berkata Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri kerana beliau memilih untuk bekerjasama dengan Najib Razak, berbanding dirinya.

"Bila saya tak setuju dengan dia pasal kerjasama dengan Najib, dia (Muhyiddin) pilih Najib dan tak pilih saya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.

Dr Mahathir dalam ucapannya turut menyentuh mengenai bagaimana kerajaan kleptokrat pimpinan Najib dikalahkan rakyat pada PRU14.

Bagaimanapun, katanya selepas tewas PRU14, Najib memainkan isu-isu perkauman, mendakwa dirinya membela orang Melayu yang ditindas orang Cina, khususnya DAP.

Menurut Mahathir, pada mulanya pimpinan PAS didekati tetapi masih tidak mencukupi kerana pihak berkenaan memerlukan pimpinan Bersatu.

Dr Mahathir juga mengulang dakwaan kerajaan PH runtuh kerana pada saat genting kemelut politik tempoh hari, PH menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri manakala Muhyiddin pula sanggup bekerja sama dengan Najib dan pemimpin Umno lain yang sedang berhadapan tuduhan rasuah di mahkamah.

"Tiba-tiba PH namakan Anwar, saya kalah. Dia pun kalah. Dua-dua tiada majoriti

"Saya dikalahkan disebabkan PH tidak sokong saya. Saya pun terima lah.

"Setelah PH tolak saya dan namakan Anwar sebagai PM, tapi mereka ada sokong balik saya tapi terlewat lah.

"Kerana tindakan PH tolak saya dan saya juga tak sanggup kerjasama dengan Najib dan geng-geng dia, maka hari ini yang menjadi perdana menteri ialah Muhyiddin Yassin," jelasnya lagi.

Menurut Mahathir, Muhyiddin tidak sabar menunggu dan pemimpin itu mahu beliau menolak PH. 

"(Kata Muhyiddin kepada saya) masanya adalah sekarang, kita keluar PH dan membentuk kerajaan Melayu.

"Malah kerja sama dengan PAS, saya fikir okay lah, tapi kerja dengan Umno? Kita baru kalahkan mereka dan kerajaan kleptokrat mereka. Kerja sama dengan Najib, musuh, saya tak sanggup.

"Tapi Muhyiddin sanggup kerja sama dengan Najib, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azeez Abdul Rahim, Rosmah (Mansor). Macam mana saya nak kerja dengan mereka, ramai di antara mereka sedang dalam perbicaraan kes rasuah?" Soalnya.

Dr Mahathir juga mengenang peribahasa "bersatu teguh, bercerai roboh" yang ingin digunakan di dalam lagu parti ketika mahu menubuhkan Bersatu dahulu.

"Tapi yang bercerai ialah Muhyiddin.

"Pasal pilih Najib dia boleh jadi PM. Saya dah jadi PM dua kali tak pa lah tak payah pun bukan saya nak yang tu sangat.

"Tapi bila kawan tikam belakang rasa pedih juga, teruk lah," katanya.

Tegas Mahathir, "dalam politik apabila orang mengkhianati janjinya kesannya tentu buruk."

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata politik tidak begitu penting berbanding dua cabaran utama yang dihadapi Malaysia sekarang, ekonomi merudum dan penularan wabak Covid-19.

"Negara kita hadapi dua cabaran besar. Ekonomi merosot dan koronavirus. Jangan ambil rendah berkenaan dengan penyakit ini, boleh ambil maut.

"Ini bukan masanya kita nak cari tempat dalam politik. Pasal kita nak hadapi dua cabaran (ekonomi merosot dan koronavirus) ini memerlukan kita tenang diri," jelasnya beliau lagi.