Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

AG baru digesa kaji semula penahanan Sosma

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Peguam Negara yang baru, Idrus Harun segera mengkaji semula kes-kes tahanan Sosma yang masih ditahan di penjara kerana kesalahan kecil seperti memiliki bahan-bahan, gambar dan video.

"PSM mengalu-alukan pelantikan Idrus Harun sebagai peguam negara yang baru. Beliau dikatakan sebagai orang yang bijaksana dan dihormati oleh pengamal undang-undang.

"Kami berharap dan percaya beliau akan menjalankan tugasnya dengan adil, tanpa takut dan tidak memihak," kata Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan kepada Malaysiakini hari ini.

Arutchelvan berkata PSM mengalu-alukan keputusan Tommy Thomas 'pada 21 Feb lalu untuk menghentikan prosiding terhadap 12 tahanan Sosma kerana didakwa dikaitkan dengan kumpulan pengganas yang sudah tidak aktif, Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Tommy berkata beliau membuat keputusan itu kerana "terdapat prospek yang tidak realistik" untuk mensabitkan 12 tertuduh di bawah mana-mana 34 pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

"Beliau membuat keputusan ini menurut budi bicaranya berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan," kata Arutchelvan.

Beliau memetik Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy sebagai berkata lebih 1,000 ditahan di bawah akta itu berdasarkan pengiraan Suaram dan ramai antara mereka ditahan kerana memiliki foto dan video berkaitan IS.

"Adalah penting untuk AG baru mengkaji dan meneliti semula mereka yang masih ditahan di bawah Sosma kerana ia adalah satu ketidakadilan yang ketara untuk menahan orang yang tidak bersalah dan menafikan kebebasan mereka yang merupakan asas hak asasi manusia," kata Arutchelvan.

Sosma membenarkan penahanan sehingga 28 hari sebelum seseorang didakwa dan apabila didakwa mereka kekal dipenjarakan sementara kes mereka dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan.

"Kami dalam proses menyerahkan memorandum kepada Tommy Thomas mengenai nasib tahanan lain yang menghadapi tuduhan yang sama dan juga gesaan untuk pemansuhan akta itu pada sidang parlimen akan datang," tambahnya.