Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri berbasikal di Putrajaya

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memuat naik di Facebook beberapa keping gambar berbasikal pada pagi ini di sekitar Putrajaya.

Pengerusi parti Bersatu itu dilihat memakai topi keledar yang mengandungi lambang Bersatu, parti yang kini berdepan kemelut dalaman selepas sebahagian besarnya menyokong presiden parti Muhyiddin Yassin yang baru bersumpah sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Saya berbasikal di keliling tasik Putrajaya pagi tadi.

"Badan yang cergas dan stamina yang kuat amat penting dalam melaksanakan aktiviti atau pekerjaan yang kita mahu lakukan," kata keterangan yang disertakan pada kiriman itu.

Beliau dilihat ditemani oleh pengerusi Limosin Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan perenang jarak jauh Abdul Malik Mydin dan beberapa pelumba lain.

Mahathir dilihat jarang membuat penampilan di khalayak ramai sejak kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan bulan lepas serta perpecahan parti Bersatu.

Bersatu menerajui gabungan Perikatan Nasional bersama BN dan PAS di bawah pimpinan Muhyiddin di peringkat persekutuan.

Sementara di negeri tertentu, Bersatu meneruskan kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah - contoh yang paling ketara iaitu Kedah, dengan Mukhriz Mahathir masih merupakan Menteri Besar kerajaan negeri.