Abang Jo nafi jumpa Muhyiddin semalam bincang kabinet
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg hari ini menafikan ada membuat pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam bagi membincangkan perkara berhubung Kabinet Persekutuan baharu yang akan dibentuk.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah ada keputusan berhubung penyertaan GPS dalam Kabinet itu dengan meminta pemberita untuk menunggu sehingga esok.
“Tunggulah besok, saya ada mesyuarat PBB (esok),” katanya kepada media, merujuk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang akan diadakan di ibu pejabat mereka di Jalan Bako di Kuching.
Selasa lepas beliau berkata isu mengenai GPS menjadi sebahagian daripada kabinet persekutuan adalah kurang penting berbanding kepentingan negara yang menjadi keutamaan, dan beliau memerlukan masa untuk memutuskan sama ada GPS akan menerima atau menolak sebarang jawatan dalam kerajaan Persekutuan itu.
“Biar saya lihat dahulu...mengandaikan ada jemputan (untuk GPS menyertai Kabinet) tidak berapa penting, keutamaannya adalah soal negara,” katanya.
Dalam satu kenyataan Isnin lepas, Ketua Whip GPS Fadillah Yusof berkata kepimpinan gabungan itu menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Abang Johari untuk membuat keputusan mengenai gabungan itu menyertai Kabinet Persekutuan pimpinan Muhyiddin.
Fadillah Yusof berkata perkara itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat di antara kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan dan semua ahli parlimen mereka di Kuala Lumpur pada 1 Mac.
Cakap-cakap mengenai kemungkinan kemasukan wakil-wakil GPS dalam kabinet baru itu timbul setelah mereka menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan selepas seminggu negara menghadapi kemelut kepemimpinan politik.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Ahad lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai