Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keputusan permohonan interim wanita dakwa isteri Samy Vellu pada 31 Mac

Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini menetapkan 31 Mac untuk keputusan sama ada meneruskan atau menangguhkan prosiding permohonan perintah interim seorang wanita yang mendakwa isteri kepada bekas presiden MIC, S Samy Vellu.

Peguam RSN Rayer yang mewakili wanita itu, Meeriam Rosaline Edward Paul, 60, memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita selepas kes didengar di hadapan Hakim Hashim Hamzah yang kemudian menetapkan 31 Mac ini untuk membuat keputusan.

Rayer berkata peguam yang mewakili anak Samy Vellu, Vell Paari selaku defendan, David Matthews memohon kepada mahkamah supaya menangguhkan prosiding permohonan yang difailkan Meeriam Rosaline untuk mendapatkan perintah interim bagi memperoleh akses tanpa syarat ke atas bekas menteri Kerja Raya itu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

"Mereka memohon supaya prosiding ditangguhkan dengan alasan telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan kami membantah dengan mengatakan bahawa keupayaan mental beliau (Samy Vellu) berada dalam keadaan baik.

"Malah, kami telah merujuk gambar-gambar dalam afidavit Meeriam Rosaline yang menunjukkan beliau (Samy Vellu) menghadiri beberapa acara tahun lepas dan perayaan Thaipusam di Batu Caves tahun ini,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, S Ramesh.

Sementara itu, Ramesh berkata mereka telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa saman yang difailkan oleh Vell Paari tidak ada asas ada untuk menentukan kesihatan mental bapanya, kerana Samy Vellu telah melantik peguam Prem Ramachandran untuk mewakilinya.

"Kami memberitahu hakim bahawa seseorang yang tidak mempunyai kemampuan mental, tidak dapat melantik seorang peguam.

"Anak guam kami (Meeriam Rosaline) tidak boleh dinafikan haknya, tanpa mengira keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kami berpendapat Samy Velly benar-benar sihat," katanya.

Vell Paari memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Dis tahun lepas, memohon perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan sama ada bekas presiden MIC itu berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.

- Bernama