Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Yang Dipertua Melaka jumpa 15 Adun

Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka, iaitu 13 daripada Barisan Nasional (BN) dan dua lagi masing-masing daripada PKR dan DAP, mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob petang ini.

Dua Adun itu ialah Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis (PKR) serta Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee (DAP).

Kesemua mereka dilihat berkumpul di Hotel MITC, Ayer Keroh di Melaka sebelum bertolak pada 3.23 petang dengan menggunakan bas dan kenderaan masing-masing, sebelum tiba di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Ayer Keroh kira-kira 10 minit kemudian.

Turut kelihatan Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh dan pertemuan masih berlangsung ketika berita ini ditulis.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan tentang pelantikan ketua menteri Melaka baru yang Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-12 yang sepatutnya hari ini ditangguh ke Isnin. (9 Mac)

Pada Isnin lepas (2 Mac) dilaporkan Mohd Khalil mendapat representasi bahawa Ketua Menteri Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun Melaka.

Sehubungan itu Mohd Khalil akan melantik seorang Adun sebagai ketua menteri yang baru dalam masa terdekat.

- Bernama