Pekerja kilang mengaku salah hina Agong, Raja Permaisuri
Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di laman sosial Instagram.
Shahril Mohd Sarif, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 12 Mac depan untuk menjatuhkan hukuman ke atas lelaki itu.
Mengikut pertuduhan, Shahril didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Instagram dengan menggunakan laman profil “s.sharilbinmohd”, secara sedar membuat dan memulakan dua penghantaran komunikasi yang jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara 10 pagi dan 1 tengah hari pada 1 Mac lepas.
Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur pada pukul 4.06 petang, hari yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Shahril dengan mengambil kira ia bukan kesalahan kali pertama lelaki itu kerana dia sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas kesalahan sama, pada April tahun lepas.
“Hantaran ini dibuat pada laman rasmi Instagram Istana Negara sewaktu siaran langsung istiadat angkat sumpah perdana menteri kelapan baru-baru ini.
“Tindakan tertuduh telah mengundang kemarahan dan ketidakpuashatian masyarakat awam yang turut menonton siaran sama,” katanya.
Tambah beliau lagi, susulan hantaran yang dibuat OKS, pengguna laman Instagram telah meninggalkan beratus komen yang meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai