Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘PH tak boleh mampan kerana realiti demografi’

Pakatan Harapan tidak boleh menjadi mampan kerana realiti demografi negara ini, kata Khalid Jaafar, orang kuat bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Khalid berkata unjuran 2040 menunjukkan orang Melayu dan bumiputera akan merangkumi 72.1 peratus (naik 4.8 peratus), Cina 20 peratus (turun 4.5 peratus), India 6.4 peratus (turun 0.9 peratus) dan lain-lain 1.5 peratus (naik 0.6 peratus).

Bancian pada 2010 menunjukkan orang Melayu dan bumiputera membentuk 67.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, Cina 24.5 peratus, India 7.3 peratus dan lain-lain 0.9 peratus, katanya lagi.

“Faktor demografi itu juga merupakan asas mengapa Pakatan Harapan tidak boleh mampan. PH tidak akan berjaya berdepan dengan realiti demografi,” kata Khalid dalam tulisannya di Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Katanya, perubahan komposisi dari tahun ke tahun itu kuat dipengaruhi kadar jumlah kesuburan Cina dan India yang telah lama jatuh di bawah kesuburan paras penggantian (replacement level fertility) sejak tahun 2005.

Sedangkan, katanya, kadar jumlah kesuburan Melayu setakat tahun 2016 masih lagi pada kadar 2.5.

Khalid berkata unjuran itu diperolehnya daripada seorang ahli statistikan Universiti Malaya.

Beliau berkata, beliau memilih tahun 2040 kerana pada masa itu pemimpin muda PKR sekarang akan berada pada tahan paling mapan dalam kehidupan.

Beliau memetik beberapa nama sebagai contoh, iaitu Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin, Amirudin Shari, Afif Bahardin, Sim Tze Tzin, Chang Lih Kang dan Fahmi Fadzil.

“Mereka perlu berdepan dengan realiti demografi tersebut,” katanya.

Dalam tulisan sama, Khalid juga berkata tahap sokongan DAP terus mengecil dari tahun ke tahun.

Hannah: Halalkan pengkhianatan

Sementara itu, seorang pemimpin DAP Hannah Yeoh menyifatkan tulisan itu hanya mahu “menghalalkan pengkhianatan”.

“Ini orang Azmin. Bertahun-tahun tak mengadu pun sokongan yang dinikmati daripada DAP semasa berkuasa di pejabat menteri besar dan memegang jawatan MB Sgor.

“Sekarang tulis artikel nak halalkan pengkhianatan. Enjoy your stint now as the new boneka Umno,” katanya.