Maria: Saya ingat mampu damaikan kem Anwar dan Azmin
WAWANCARA | Sebelum kemelut politik yang tercetus minggu lalu, yang membawa kepada runtuhnya kerajaan PH, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin telah melakukan usaha untuk menjadi perantara dalam konflik antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas timbalannya, Azmin Ali.
Anggota parlimen PKR itu berkata demikian dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.
Maria mendedahkan beliau antara anggota PKR yang mahu melihat parti itu bersatu, justeru cuba memainkan peranan sebagai pendamai.
Bekas pengerusi Bersih itu berkata, hubungannya dengan Anwar dan Azmin telah bermula sejak penglibatannya sebagai aktivis Bersih kerana kedua-duanya membantu gabungan NGO itu dalam himpunan anjurannya.
"Saya mahu lihat kedua-dua mereka dapat kerja bersama-sama, jika tidak bagaimana kita dapat mentadbir negara bila parti kita berpecah?”
"Saya bercakap dengan kedua-dua pihak untuk lihat sama ada penyatuan dapat dicapai. Salah satunya sewaktu kongres parti (pada Disember 2019), untuk meminta mereka bersama-sama, dan ia terjadi buat seketika," katanya.
"Sebelum kongres, mereka telah bertemu dan berbincang tentang bagaimana untuk mengadakan kongres," katanya, sambil menambah beliau pada mulanya merasakan ia akan berjalan dengan lancar.
Maria merujuk pertemuan antara Anwar dan Azmin sebelum kongres, di mana mereka berdua dilaporkan mencapai 'gencatan senjata'.
Bagaimanapun keadaan bertukar menjadi buruk apabila pergaduhan tercetus sebelum Kongres Pemuda PKR, langkah Azmin dan penyokongnya keluar dari dewan ketika kongres PKR berlangsung.
Selepas insiden itu, Maria antara pemimpin PKR yang berada dalam sidang akhbar Azmin. Ia menimbulkan tanggapan bahawa beliau berada dalam kem bekas menteri hal ehwal ekonomi itu.
Maria bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Menurut Maria, keberadaannya di pihak Azmin semasa kongres PKR adalah kerana kecewa dengan pergaduhan di kongres Pemuda PKR dan rentetan peristiwa sekitar acara itu.
Maria juga dilihat ada di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 23 Februari lalu, yang menandakan permulaan kejatuhan kerajaan PH.
Beliau telah menjelaskan bahawa kehadirannya adalah untuk menghalang pembentukan kerajaan 'pintu belakang'.
Beliau berkata kem Azmin tidak memintanya untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Katanya, beliau hanya menandatangani empat akuan bersumpah - tiga untuk Anwar mejadi perdana menteri dan satu untuk menyokong Mahathir memegang jawatan itu.
"Saya sokong pelan peralihan kuasa, jika tidak saya tak akan tandatangan SD," katanya lagi.
Mengimbas semula 'Langkah Sheraton', Maria berkata Azmin sebahagian daripada komplot itu dan telah mengkhianati rakyat Malaysia memandangkan mereka memilih PH, bukannya Perikatan Nasional (PN).
"Saya sangat marah terhadap apa yang telah dilakukannya kepada negara kita. Ia bukan tentang Anwar dan parti sahaja. Rakyat telah meletakkan harapan yang besar kepada kita dan dia telah mengkhianatinya,” katanya lagi.
"Apabila saya mendengar perkara itu, saya menangis sepanjang hari (sehingga) anak saya tidak tahu nak buat apa," katanya.
Langkah Azmin dan kumpulannya untuk meninggalkan PKR tidak disusuli semua pengyokongnya. Naib presiden Tian Chua, yang dikenali sebagai penyokong setia Azmin, telah diserang oleh anggota parti yang tidak puas hati dengan apa yang berlaku.
Maria berkata, Tian Chua tidak sewajarnya diserang hanya kerana mempunyai pandangan yang berbeza.
Menurutnya, PKR harus mula menyatukan semua ahlinya untuk berdepan cabaran di depan, dan bukannya memecah-belahkan separuh daripada 'bala tentera'.
"Saya rasa presiden (Anwar) juga merasakan hal sama kerana beliau juga menyeru supaya kita bersatu dan terus membangunkan parti serta menangani krisis negara ini," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai