Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

JPM jelaskan alasan sidang parlimen ditangguh ke Mei

Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini menjelaskan, langkah kerajaan menangguhkan sidang Dewan Rakyat dari 9 Mac ke 18 Mei depan adalah bagi memberi ruang kepada barisan kabinet yang akan dilantik untuk memahami tugas kementerian dan jabatan masing-masing.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPM berkata, kerajaan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya pelantikan barisan menteri dan timbalan menteri dalam menetapkan penundaan tersebut.

“Ia juga bagi membolehkan menteri-menteri yang dilantik bersedia untuk menjawab soalan waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan, perbahasan, pembentangan rang undang-undang, dan usul-usul apabila parlimen bersidang,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, penundaan itu turut memberi peluang kepada anggota parlimen mengemukakan pertanyaan jawab lisan dan bukan lisan, serta usul yang relevan dengan isu semasa negara.

Menurut kenyataan itu juga, penyediaan takwim bagi penggal ketiga parlimen ke-14 itu dilaksanakan berdasarkan peraturan-peraturan majlis mesyuarat yang berkaitan, dan disahkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

“Institusi Parlimen hendaklah dihormati oleh segenap lapisan rakyat, termasuk oleh ahli-ahli parlimen sendiri,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Mohamad Ariff menjelaskan bahawa beliau menerima surat makluman berkenaan tarikh baru untuk sidang ketiga Parlimen ke-14 daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehari sebelumnya.

“Tiada persidangan pada 9 Mac ini. Tarikh baru Istiadat Pembukaan Parlimen ialah 18 Mei 2020,” katanya seperti dipetik BH Online.