Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

IGP: Nak berhimpun di Padang Merbok, stadium pun boleh

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kecewa dengan kritikan pengamal undang-undang berhubung tindakan pihak berkuasa terhadap perhimpunan baru-baru ini.

Beliau berkata, polis sedia memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk berhimpun baik di Padang Merbok ataupun stadium asalkan mematuhi undang-undang,

“Ini, golongan peguam ini, saya minta dia orang fahamlah, dia orang pengamal undang-undang. Jangan keluarkan kenyataan kononnya polis kekang itu, polis kekang ini, naik jemu saya dengar, tak faham-faham.

“Pihak media pula, tolong terangkan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang mudah difahami mereka.

“Kalau mahu berhimpun, pergilah ke Padang Merbok atau sewa stadium. Mohon notis dan di situ, kamu boleh menyuarakan idea kamu sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di Klang, hari ini.

Hamid berkata demikian selepas majlis menandatangani deklarasi kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pengarah APMM Mohd Zubil Mat Som.

Semalam, seramai 18 orang aktivis, termasuk S Ambiga dan anak bekas perdana menteri Marina Mahathir, disiasat polis susulan beberapa siri demonstrasi selepas perubahan kerajaan baru-baru ini.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Muhammad Faiz Fadzil dan Naib Ketua Pemuda Amanah Abbas Azmi turut dipanggil untuk disoal siasat.

Kenyataan mereka dirakamkan di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, dalam dua sesi berbeza - pada jam 12 tengah hari dan 3 petang.

Kecuali aktivis Fadiah Nadwa Fikri yang disiasat bawah tiga akta, kesemua mereka disiasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberikan notis sebelum berhimpun.

Fadiah turut disiasat bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Hamid berkata pihak polis memanggil individu yeng terbabit dengan demonstrasi itu kerana jelas melanggar peraturan ditetapkan.

Malah, pihak polis memanggil mereka yang terbabit untuk dirakam keterangan dengan cara yang tertib.

“Kita sentiasa menghormati demokrasi dan menghormati peruntukan perlembagaan berhubung dengan hak rakyat negara ini untuk berdemonstrasi.

“Kita hotmati, tetapi pada masa sama parlimen telah meluluskan satu undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman.

“Akta ini pada hemat saya adalah undang-undang yang hendak memudahkan kita menguruskan kehendak hak rakyat untuk berdemonstrasi,” katanya.

Oleh itu katanya, sebelum perhimpunan diadakan pengajur perlulah memohon notis bagi memudahkan penugasan anggota polis untuk mengawal keselamatan.