BN batal kerjasama dengan Bersatu di Melaka
- Dikemas kini dengan kenyataan ketua BN Melaka Abd Rauf Yusoh.
BN Melaka membatalkan kerjasama dengan dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu - Mohd Rafiq Naizamohidee (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas).
Bagaimanapun BN masih selamat dengan sokongan 15 Adun, termasuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) yang melompat daripada DAP dan PKR.
BN masih cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Bercakap pada sidang media hari ini, ketua BN Melaka Abd Rauf Yusoh berkata mereka telah menjemput Rafiq dan Noor Effandi untuk bertemu dan membincangkan kerjasama baru susulan pengumuman keluar Bersatu dari Pakatan Harapan minggu lepas.
Bagaimanapun, Rauf menjelaskan sehingga hari ini, mereka gagal bertemu dengan wakil Bersatu terbabit.
"(Ini) menyebabkan BN Melaka telah hilang kepercayaan untuk menjalankan kerjasama ini," katanya.
Untuk rekod, kerajaan PH tumbang minggu lalu susulan tindakan Bersatu meninggalkan gabungan itu dan kemelut politik yang dihadapi sehingga menyebabkan pertukaran jawatan perdana menteri.
Sementara itu, Rauf turut menambah bahawa gabungan terdahulu bersama 13 Adun dan Rafiq serta Noor Effandi tidak lagi berkuat kuasa serta-merta.
"Kita menghormati gabungan peringkat ini dan kita memaklumkan bahawa kami hanya memisahkan gabungan di antara dua Adun ini tanpa memisahkan gabungan dengan parti Bersatu.
"Oleh yang demikian, gabungan 13 Adun BN membentuk kerjasama dengan dua Adun yang lain akan membentuk satu majoriti 15 orang kepada Tuan Yang Dipertua dalam kadar segera," katanya.
Tiada persefahaman
Selain itu, Rauf juga menambah antara sebab kerjasama tersebut tidak dapat dijalankan kerana tiada persefahaman antara kedua Adun terbabit.
Jelasnya, kerjasama ini dilihat tidak mempunyai hala tuju sehingga menerima notis dari setiausaha kerajaan (SUK) yang menjemput bagi upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri esok.
“Bagi kami, sekiranya ada persefahaman dan persamaan untuk membentuk kerajaan, tolonglah tengok yang 13 Adun ini untuk sama-sama bentuk hala tuju.
“Kita bukan bantah kerjasama gabungan itu, tetapi kita bantah watak dan tokoh wakil rakyat Bersatu yang tidak beri penghormatan kepada kami, 13 orang yang menyokong gabungan ini,” katanya.
Ditanya pemberita adakah kerjasama ini akan membawa kesan buruk terhadap hubungan parti di kerajaan pusat, Rauf menjelaskan perkara ini hanya berlaku di peringkat negeri Melaka saja.
“Kita tak putus hubungan dengan pusat, ini hanya di peringkat negeri mengatakan bahawa dua orang tokoh ini tidak datang berunding dengan kita dalam apa juga sekali pun sampai hari ini kita tidak terima satu bentuk persefahaman.
“Maka kita bermesyuarat dan sebulat suara memohon supaya tidak lagi bekerjasama dengan kedua-dua wakil rakyat ini,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai